PETALING JAYA: Kehadiran pengundi perantau masih belum cukup mampu memberi kejutan kemenangan kepada mana-mana parti dan calon yang menaruh nasib dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Hal ini kerana terdapat beberapa faktor perlu diambil kira dan antaranya jumlah pengundi perantau dipercayai adalah kecil iaitu sekitar lima peratus di samping mereka masih berkira-kira untuk pulang sekali gus menyebabkan peratusan keluar mengundi dijangka rendah dalam lingkungan 60 peratus.
Dipercayai jumlah pengundi perantau tidak sampai 500,000 daripada 9.7 juta keseluruhan pemilih dengan mengambil kira warga Kelantan dan Terengganu apabila masing-masing mempunyai 200,000 dan 20,000 orang berhijrah ke negeri lain dan jumlah itu tidak termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang masih belum diketahui sehingga kini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Pusat Penyelidikan Ilham, Mujibu Abd. Muis berkata, berdasarkan tinjauan awal pihaknya mendapati separuh pengundi perantau masih belum membuat keputusan sama ada ingin pulang mengundi dan mereka bersikap tunggu dan lihat selepas hari penamaan calon dan pengumuman manifesto nanti.
Sebaliknya beliau berpandangan, sekali pun jumlah tidak pulang mengundi adalah besar, namun kemenangan calon dan parti masih bergantung penuh kepada pengundi tegar khususnya membabitkan dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.
“Faktor perjalanan jauh dan kos menjadi punca warga negeri Pantai Timur masih berkira-kira balik mengundi. Berdasarkan pemerhatian saya di lapangan, mereka memberikan ‘buat apa balik kampung kerana semata-mata mengundi’, jadi inilah menjadi kemungkinan besar mereka tidak pulang pada pilihan raya nanti.
“Namun seandainya majoriti perantau tidak balik sekalipun, pengundi tegar di enam negeri PRN masih menjadi penentu utama kemenangan pilihan raya seperti mana berlaku di Melaka dan Johor yang menyaksikan jumlah keluar mengundi rendah, tetapi Barisan Nasional (BN) berjaya meraih kemenangan besar,” katanya.
Perubahan tampuk kepemimpinan kerajaan di enam negeri bakal ditentukan oleh 9,773,571 pengundi yang akan memilih wakil rakyat pilihan masing-masing pada 12 Ogos ini. Jumlah itu meliputi 2,831,025 pengundi muda bawah 30 tahun dengan 661,906 orang daripadanya adalah dalam kalangan umur 18 hingga 20 tahun.
Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 9,773,571 orang pemilih yang terdiri daripada 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 tentera serta pasangan, 47,728 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 pengundi tidak hadir luar negara. – UTUSAN











