PETALING JAYA: Tiada keperluan mendesak untuk Kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perikatan Nasional (PN) selepas pilihan raya negeri (PRN), bulan depan kerana ia memberi isyarat salah berhubung kedudukan kerajaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, perkara itu jika dilaksanakan akan menjadi indikator sokongan majoriti dua per tiga terhadap kerajaan semakin terhakis.
“Tiada sebarang keperluan mewujudkan MoU selepas PRN. Saya lihat perkara ini bukanlah mendesak kerana kerajaan sememangnya sudah ada majoriti dua per tiga. Menandatangani MoU bagi kedua-dua belah pihak adalah perkara yang sukar kerana perlu menemui satu titik tengah yang dipersetujui.
“Desakan sedemikan akan menjadi indikator kepada rakyat jika benar desas-desus peralihan kuasa berlaku selepas Ogos.
“Tidak perlu MoU atau sebarang perjanjian kerana kita tahu sekiranya kerajaan sudah melakukan yang terbaik malah terbukti menjalankan kerjanya dengan cemerlang, maka tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengesyorkan Kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian damai antara parti pembangkang untuk memastikan kestabilan politik sebaik sahaja tamat PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Dalam kenyataan itu, Bersih juga menggesa supaya institusi Parlimen memainkan peranan utama bagi perdamaian politik yang mapan sehingga 2027 yang memerlukan pemerkasaan ahli Parlimen pembangkang dan backbencher kerajaan sebagai pertukaran dengan janji pembangkang untuk tidak berkomplot menjatuhkan kerajaan.
Jun lalu, ketika berceramah dalam program Jelajah Selangor Baharu, Kita Bangkit di Shah Alam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan Kerajaan Pusat sekiranya memenangi semua Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri walaupun beliau tidak menyatakan bagaimana perkara itu boleh dilakukan.
Dalam nada sama, penganalisis politik Universiti Malaya Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, MoU seperti itu tidak diperlukan kerana jumlah sokongan terhadap kerajaan dan pembangkang bukanlah sengit seperti penggal lalu.
“Kedudukan pembangkang dalam konteks Kerajaan Perpaduan tidaklah kuat malah rapuh maka sekiranya pembangkang menandatangani MoU dengan kerajaan, mereka tidak mempunyai kuasa tawar-menawar yang tinggi.
“Berdasarkan sentimen pada masa ini, saya tidak yakin PN mampu untuk memenangi enam negeri. Jika mereka boleh kekalkan kemenangan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, itu sudah cukup baik.
“Kekuatan PN semakin melemah dan dasar-dasar yang diangkat di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa anjakan kepada golongan petani, penjawat awam serta pengumuman gaji progresif dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN











