PILIHAN raya negeri (PRN) di enam negeri akan berlangsung pada 12 Ogos ini. Penamaan calon dan tempoh masa berkempen secara rasmi belum bermula. Namun, sudah nampak kedua-dua pihak telah memulakan kempen. Pihak kerajaan perpaduan secara tidak langsung memulakan kempen ke negeri-negeri terlibat, begitu juga Perikatan Nasional (PN).
Persoalan kerja-kerja kerajaan dan kerja-kerja parti sukar dipisahkan. Seakan-akan satu perkara sama walaupun hakikatnya kerja berbeza. Oleh kerana telah menjadi amalan sekian lama (kecuali zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dipisahkan) ia seakan suatu yang boleh diterima. Tunku Abdul Rahman mengambil cuti bagi mengadakan kempen pilihan raya umum (PRU) 1959 dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri secara sementara kepada Tun Abdul Razak Hussein, timbalannya.
Tulisan ini cuba membincangkan kempen pilihan raya secara sihat dan lebih profesional sifatnya. Kempen pilihan raya adalah bagi menarik sokongan pengundi kepada sesebuah parti yang ditandinginya.
Bagaimana parti boleh menarik pengundi supaya tertarik yang pada akhirnya yakin akan sesebuah parti dan mengundinya pada hari pengundian. Itulah matlamat akhir sesebuah kempen pilihan raya. Ia bukan sekadar menyedap dan menarik pendengar, jauh sekali daripada fitnah dan fakta tidak tepat.
Saya ingin menyarankan semua yang bertanding, sama ada pemerintah atau pembangkang – hanya menjelaskan dasar dan kebaikan sesebuah parti dianggotainya/ditandinginya. Apakah kekuatan parti? Apakah yang akan dilakukan jika parti menang dan dapat membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti? Apa dijanjikan hendaklah sesuatu yang logik, munasabah dan mampu dilakukan. Elakkan janji yang ‘terlalu besar’ dan tidak mampu dilakukan. Sesebuah parti dan pemimpinnya hendaklah sedar dan mampu menguasai diri semasa bercakap dalam kempen. Bukan hanya nada lantang dan sedap didengar oleh penyokong tegar yang beremosi serta tepukan gemuruh, tetapi logik dan kemampuan bagi melaksanakannya nanti. Padah dan kesan buruk bakal menimpa andainya janji itu tidak mampu ditunaikan bila menang dan berjaya membentuk kerajaan nanti. J
RAJA
Ini semua perlu benar-benar teliti. Pemimpin utama semua parti perlu berbincang dan mencanai idea bagi menghasilkan sebuah perancangan politik yang benar-benar tepat. Ia bukan omongan kosong diluahkan secara spontan yang hanya sedap didengar semasa berkempen tetapi tidak mempunyai asas kukuh dari segi pelaksanaan dan perancangan politik jangka panjang.
Para pengundi juga perlu menilai dengan baik, apa yang dinyatakan dan dijanjikan semasa kempen pilihan raya. Jika sesuatu dinyatakan tidak dikota selepas berjaya menguasai kerajaan, satu tindakan perlu dilakukan oleh para pengundi. Kuasa para pengundi itu besar dalam amalan demokrasi. Kuasa penentu dan ‘raja’ bukannya pemimpin politik, tetapi rakyat umum sebagai pengundi. Kesedaran pengundi tentang ini harus ada dalam menuju sebuah negara maju.
Tindakan kempen pilihan raya dengan memburuk-buruk parti lawan bukanlah satu amalan baik yang profesional sifatnya. Ini sangat-sangat perlu dielakkan, walaupun telah menjadi amalan sekian lama dalam politik dan kempen pilihan raya di negara ini. Ia perlu ditamatkan dan diubah segera. Ia sudah tidak lagi sesuai berasaskan moral demokrasi serta perkembangan semasa terkini politik Malaysia. Apa guna memburuk-buruk parti lawan serta mencari salah mereka? Cari kebaikan parti sendiri dan ketengahkan kepada para pengundi bagi menarik sokongan. Lebih elok mencari keburukan parti sendiri daripada parti lawan. Cari keburukan parti politik sendiri dengan matlamat dan tujuan memperbaikinya. Baiki dan tambah baik parti sendiri akan lebih memberi kebaikan. Bukan sahaja kebaikan dalam jangka pendek tetapi kepentingan jangka panjang.
MUSUH
Musuh dan kawan dalam politik adalah tidak kekal. Hari ini kawan, mungkin esok jadi lawan. Matlamat parti politik hanya bagi mendapatkan kuasa. Hari ini kita memburuk-buruk parti A, besok ia menjadi gabungan dan rakan sekutu. Ini jelas berlaku dalam perkembangan terkini politik Malaysia. Dalam PRU15, UMNO/BN (Barisan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan)/DAP adalah musuh ketat tetapi selepas pilihan raya, kedua-duanya bekerjasama membentuk kerajaan. Ia suatu di luar jangkaan dengan kutukan serta kempen semasa PRU15. Seolah-olah UMNO/BN dan PH/DAP adalah musuh politik sampai kiamat. Begitu juga ketika Pakatan Rakyat, DAP dan Pas adalah sekutu rapat. Ia seakan tidak akan terpisah dengan pujian baik antara Pas dan DAP.
Dalam usaha membentuk negara maju dan kestabilan politik, marilah kita sama-sama berganjak ke tahap lebih maju dan bersih. Buanglah unsur-unsur negatif berkempen, bina kekuatan berasaskan unsur-unsur positif. – UTUSAN
Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.











