ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan baginda dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.
Menurutnya, beliau mengutuskan surat kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang didakwa sengaja diputar belit itu.
“Apa gunanya menangguk di air nan keruh. Sebaik mengetahui ucapan saya telah diputar belit oleh ejen-ejen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Tuanku Sultan Selangor.
“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” kata Sanusi semalam.
Sementara itu, Sanusi berkata, warkah tersebut tidak sesuai untuk dikongsikan kepada umum bagi memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan menjaga adat dan adab berurusan dengan istana.
“Saya turut mendoakan agar Tuanku Sultan dan Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan.
“Saya dimaklumkan oleh pegawai istana Selangor bahawa Tuanku Sultan telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah saya pada hari Jumaat,” kata beliau
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau juga telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat polis Bukit Aman pada pukul 2 pagi kelmarin untuk melengkapkan siasatan ke atas laporan-laporan yang dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR dan pelbagai pihak.
“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” katanya. – UTUSAN











