Mangsa terjun bangunan mahasiswa Kolej Alam Bina UiTM - Utusan Malaysia

Mangsa terjun bangunan mahasiswa Kolej Alam Bina UiTM

UiTM
ROZIAH MOHD. JANOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengesahkan wanita yang terjun dari tingkat empat sebuah kondominium Seksyen 7 berhampiran institusi pengajian tinggi itu adalah mahasiswanya dari Kolej Alam Bina.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, mahasiswa berusia 23 tahun itu merupakan penuntut semester lima di kolej berkenaan yang tinggal secara menyewa di luar kampus.

“Kami menerima maklumat tentang kejadian tersebut pada petang semalam dan sudah pun memaklumkan kepada keluarganya pada masa yang sama. Selain itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut dimaklumkan tentang insiden itu,” katanya ketika ditemui pada Program Semarak Siswa Madani (SSM) UiTM Shah Alam, hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan polis mengesahkan kejadian seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terjun dari tingkat empat sebuah kondominium dekat Seksyen 7, di sini, semalam mengalami tekanan dan pernah menerima rawatan sakit mental.

Insiden tersebut tular dalam media sosial menerusi potongan video memaparkan mayat seorang individu ditutup dengan kain dipercayai seorang mahasiswa IPTA yang dipercayai bunuh diri dengan terjun dekat sebuah kondominium di sini.

Dalam pada itu, Roziah memaklumkan UiTM menyediakan peruntukan RM10,000 sebagai sumbangan untuk disalurkan kepada keluarga mahasiswa berkenaan selain menyediakan van bagi membawa jenazahnya ke Kelantan untuk dikebumikan di sana.

“Selain sumbangan itu, UiTM akan menawarkan khidmat kaunseling kepada ahli keluarganya. Bagaimanapun, saya harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana sedang dalam siasatan polis.

“Kita harap masyarakat menghormati sensitiviti keluarga mangsa kerana mereka pasti berduka mengenai apa yang berlaku,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×