Usah terpengaruh kempen politik dalam TikTok - Utusan Malaysia

Usah terpengaruh kempen politik dalam TikTok

KENALI sejarah tanah air kita termasuk dengan cara mengunjungi Muzium Negara dan jangan sampai menjadi generasi yang buta sejarah. – GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUKUPLAH menjolok sarang tebuan, jangan berterusan memperjudikan keamanan negara. Belum pun tiba hari penamaan calon, pelbagai kenyataan panas sudah dilontarkan.

Tuduh-menuduh, kata-mengata, permainan persepsi, fitnah dan adu domba dilakukan tanpa ada perasaan segan silu atau bersalah. Adakah ini nilai yang mahu diterapkan ke dalam diri generasi kami yang bakal mewarisi negara?

Sampai bila kita mahu membudayakan cara ini tanpa berusaha keluar daripada kepompong pemikiran sempit sebegini? Adakah impian untuk melihat kempen pilihan raya yang bersih, bertamadun, bersifat intelektual dan berterus-terang tentang misi dan visi mereka yang bertanding adalah terlalu sukar untuk menjadi kenyataan? Inikah yang dikatakan kemajuan?

Memuatkan artikel berkaitan…

Ramai juga dalam kalangan rakyat yang bergaduh sesama sendiri akibat termakan hasutan, fitnah serta tertipu oleh cerita persepsi. Hal ini lebih ketara lagi apabila tiba musim pilihan raya. Ada menelan bulat-bulat apa sahaja diperkatakan tanpa berfikir secara rasional dan menyiasat terlebih dahulu.

Tidak kurang juga bermati-matian mempertahankan parti walaupun mereka tidak benar-benar memahami prinsip yang diperjuangkan serta sejarah perjuangan parti yang disokong mereka.

Bukan mudah untuk membina sebuah negara bangsa yang makmur, namun jika kita tersilap langkah, ia boleh musnah hanya dalam sekelip mata.

Justeru, walau apa jua sebabnya, jangan dibakar rumah pusaka ini. Jika ia runtuh, hilanglah tempat kita berteduh daripada panas dan hujan. Keamanan negara tidak ternilai harganya.

Tiada gunanya lagi segala kemajuan yang dicapai jika keadaan negara tidak lagi aman. Yang akan menanggung akibatnya ialah rakyat jelata. Gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit.

Pemimpin yang baik mesti amanah, bertanggungjawab serta bersikap matang dan positif dalam apa keadaan sekalipun, apatah lagi ketika sedang berkempen.

Banyak mata memandang dan ramai akan meniru sikap yang dipaparkan mereka tanpa berfikir panjang akan buruk baiknya sikap yang ditonjolkan itu. Sering kali pula apa yang diucapkan akan dipanjang-panjangkan tanpa diselidiki kebenarannya terlebih dahulu.

Didiklah rakyat dengan nilai-nilai baik. Tunjukkan sifat-sifat terpuji yang boleh dijadikan contoh teladan kepada rakyat. Jangan pula menjadi seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Jangan dinormalkan perkara, sikap, perbuatan atau nilai yang tidak betul. Jika sesuatu perbuatan itu salah, ia tetap akan salah walaupun dilakukan oleh parti mana sekalipun.

Kesemua parti besar akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) bakal berlangsung kurang sebulan sahaja lagi pernah memerintah baik di peringkat negeri mahupun peringkat Pusat.

Maka, secara akademiknya gabungan parti-parti tersebut sudah mempunyai rekod prestasi masing-masing. Maka, sepatutnya para pengundi membuat penilaian berdasarkan prestasi mereka dan bukannya daripada kempen yang berdegar-degar.

13 MEI

Negara akan bergolak jika rakyatnya asyik berbalah sesama sendiri. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Jika mahu diturutkan apa yang dituntut oleh setiap rakyat, maka kucar-kacirlah keadaan negara.

Oleh itu, kita mesti bersatu berteraskan prinsip-prinsip asas negara yang menjadi tonggak pembinaan tanah air. Hormatilah hak masing-masing seperti jelas tertulis di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan pada masa sama, jangan kita pertikaikan hak orang lain.

Kita hidup dalam masyarakat majmuk merangkumi pelbagai bangsa dan suku kaum. Raikan perbezaan dan jangan biarkan ia membakar kita. Kita tidak mahu tragedi hitam 13 Mei 1969 berulang lagi.

Semangat perpaduan mesti dipupuk dalam diri setiap daripada kita sejak dari kecil. Kita harus saling hormat-menghormati dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Jangan menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Kempen pilihan raya bukanlah pentas untuk bertindak sesuka hati serta memupuk bibit kebencian sesama kita. Ia juga bukanlah medan untuk menabur fitnah dan memecahbelahkan rakyat.

Kita bangsa yang bertamadun dan beradab maka jangan jatuhkan maruah bangsa. Semua parti yang bertanding pasti mahu menang tetapi itu bukan bermakna kita boleh bertindak sesuka hati sehingga melangkaui undang-undang.

Kebebasan kita ada hadnya seperti digariskan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Malah, kebebasan kita turut dibatasi oleh peraturan agama masing-masing. Kebebasan mutlak akan hanya menghancurkan negara. Belajarlah untuk mematuhi undang-undang dalam kerangka telah ditetapkan.

Seperti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), undi anak muda menjadi penentu kepada kemenangan parti-parti bertanding. Anak muda harus bijak memilih yang mana kaca, yang mana permata.

Usah mudah terpedaya oleh umpan politik yang ditabur. Kaji dahulu dan jangan mudah terpengaruh oleh kempen di TikTok serta aplikasi media sosial lain. Orang menjual, sudah tentu mereka akan memujuk kita untuk membeli jenama jualan mereka. Justeru, jadilah pembeli yang bijak.

Sejarah mengajar kita tentang erti perjuangan dan pengorbanan raja-raja Melayu, para pahlawan serta tokoh yang telah banyak berjasa kepada negara.

Sedarlah, sejarah tanah air kita telah lama bermula sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu lagi. Malang sekali jika kita buta sejarah atau mahu memadamkannya untuk membawa naratif baharu yang terpesong daripada fakta dan kebenaran.

Kenalilah sejarah tanah air kita dan jangan sampai menjadi generasi yang buta sejarah. Ambillah pengajaran daripada kisah Si Kitol, pembelot yang menabur fitnah dan memecahbelahkan orang Melayu sehingga menjadi punca kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Rajin-rajinlah membaca sejarah untuk mengenali asal usul kita. Penuhkan ilmu di dada agar kita tidak mudah diperdayakan. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×