Isu 3R: Polis terima 31 laporan terhadap Sanusi

Isu 3R: Polis terima 31 laporan terhadap Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan menteri besar negeri itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis mengambil keterangan Muhammad Sanusi di sebuah hotel di Bangsar di sini pada pukul 2 pagi semalam.

“Setakat pukul 11 pagi, kita terima 31 laporan polis. Siasatan dijalankan oleh pasukan khas dari Bukit Aman yang memfokuskan isu 3R iaitu berkait agama, kaum dan institusi diraja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, beliau berkata, polis juga mengambil keterangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng semalam di Pulau Pinang.

“Kita turut mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 3.30 petang kelmarin di pejabatnya di Jalan Raja Laut. Kertas siasatan ketiga-tiga ahli politik ini sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata, kes melibatkan 3R ini disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Razarudin Husain

Dalam pada itu, Razarudin menegaskan, apa juga kes membabitkan isu 3R, pihak polis akan melaksanakan siasatan dengan segera.

“Isu 3R ini kerap dimainkan terutama apabila hampir Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik atau bekas ahli politik yang didapati cuba memainkan isu ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” ujarnya.

Sebelum ini, tular video ucapan Muhammad Sanusi di aplikasi TikTok yang dikatakan memperlekeh kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana melantik Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, Amirudin berkata, sikap ‘bermuka-muka’ Muhammad Sanusi itu membuktikan beliau tidak menghormati institusi raja Melayu yang menjadi lambang perpaduan masyarakat di negara ini.

Semalam, media melaporkan, selain Muhammad Sanusi, polis turut menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Guan Eng dan Abdul Hadi membabitkan kes 3R. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×