CUKUP reda dengan keputusan menangguhkan majlis perkahwinan bagi penyanyi Ernie Zakri bukan rasa kecewa yang perlu diluahkan dirinya. Sentiasa yakin dengan hikmah yang dijanjikan, tunang kepada penyanyi Syamel ini juga turut bersyukur memandangkan dengan masa yang masih berbaki ini dia masih mampu menyelesaikan beberapa perkara sebelum hari penting itu.
“Ikutkan kami memang tidak mahu mendedahkan tarikh majlis perkahwinan dengan keadaan pandemik dan negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi kami ambil keputusan untuk tidak mengambil risiko.
“Tiada rasa kecewa, cuma dalam tempoh sekarang saya dan Syamel sendiri mempunyai lebih banyak masa untuk menyelesaikan proses dokumentasi yang diperlukan untuk majlis kami nanti. Ikutkan saya juga reda dengan keputusan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Memilih untuk tetap melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat, kala ini apa yang memberi rasa terkilan kepada Ernie sendiri adalah perbezaan keadaan melangsungkan perkahwinan ketika pandemik melanda dunia.
“Tentunya sebagai seorang wanita saya mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang meriah. Bukanlah besar-besaran cukup sekadar dihadiri keluarga besar kami berdua. Cuma dalam tempoh ini kita tahu perkara itu sangat mustahil dan sedikit sebanyak memang saya terkilan.
“Tetapi itu bukan isu yang terlalu besar buat saya, malah kalau mahu kata sedih tidak dapat melangsungkan perkahwinan secara gilang-gemilang juga itu bukan yang saya impikan sebelum ini. Seperti yang dipersetujui memang harapan kami untuk mengadakan majlis yang sederhana sahaja,” katanya yang juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35)
Berkongsi persediaan melangkah ke alam perkahwinan tidak lama lagi, bagi Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri bukan kesempurnaan yang dicari. Jelasnya, dalam tempoh sekarang apa yang diperlukan dirinya adalah kemampuan untuk sentiasa menimba ilmu dalam rumah tangga.
“Perasaan itu memang berdebar, cuma dalam tempoh ini saya fikir semua orang yang akan berkahwin akan melalui perkara yang sama. Jujurnya saya banyak bertanya kepada kedua orang tua kami melalui pengalaman mereka.
“Persiapan lain juga saya banyak mendengar ceramah dan membaca buku. Penting sebagai seorang wanita dan isteri kelak untuk mengetahui hukum dalam agama.
“Cuma dalam mana-mana hubungan juga pasti ada perbalahan dan tentunya saya dan Syamel sendiri sudah mempunyai cara untuk menyelesaikannya dengan jalan yang terbaik,” kongsinya lagi.

PAMER BAHAGIA
Melihat beberapa rakan artis lain yang kini galak berkongsi momen bahagia di laman sosial bagi Ernie setiap individu mempunyai hak masing-masing. Enggan meletakkan hukuman kepada sesiapa, katanya, sebagai pengguna laman sosial juga ada pilihan untuk tidak menontonnya.
Mengakui tidak akan terlepas daripada keadaan itu, namun bagi Ernie sendiri ada batas yang perlu dihormatinya.
“Saya tidak tahu sebabnya masih belum berkahwin jadi belum berada dalam situasi itu kalau mahu bercakap pun. Cuma kalau ada yang mengenali saya dan Syamel memang kami berdua sedikit berahsia dan mementingkan privasi dalam kehidupan.
“Akan berkongsi juga tetapi dalam masa yang sama kami akan pastikan nilai perkongsian itu kepada pengikut di laman sosial. Bagaimana perkongsian itu boleh memberi pengajaran dan mungkin dalam masa yang sama ada nilai yang sesuai. Jujurnya akan tetap ada batas.
“Bagi saya kepada yang mungkin tidak senang untuk melihat video seperti itu jangan tengok. Kita mempunyai pilihan. Sebabnya kita tidak tahu kesannya kepada orang lain, mungkin ada yang boleh memberi pengajaran bukan kepada kita tetapi orang di luar sana,” katanya positif.
SINAR MATA HATI
Dalam kesibukan menguruskan hari bahagianya tidak lama lagi, Ernie kini muncul dengan buah tangan baharu buat peminatnya. Merupakan lagu tema untuk drama bersiri Suri Katriana, Sinar Mata Hati mempunyai sebab tersendiri untuk muncul hanya selepas dua tahun diperdengarkan.
“Lagu Sinar Mata Hati adalah projek yang agak lama juga. Apabila dengar ia dapat dilancarkan secara rasmi kepada peminat, saya berasa sangat gembira sebab mereka menantikan lagu ini menjadi single akhirnya.
“Apa boleh dikatakan, ini masa terbaik lagu Sinar Mata Hati ini dilancarkan. Harapan saya bukan saja ia diterima baik, tapi menjadi bualan, siulan dan dendangan pendengar yang sentiasa menantikan lagu saya. Alhamdulillah, lagu ini sudah menjadi senarai lagu saya juga.
“Buat masa sekarang Sinar Mata Hati ini hadir dengan video lirik dahulu. Video muzik belum ada perancangan nak buat bila. Ditambah pula sekarang masih tempoh PKP. Tapi saya percaya akan dapat buat juga nanti. Insya-Allah, akan datang,” katanya.
Berkongsi mengenai perjalanan dan proses menghasilkan lagu Sinar Mata Hati, Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik AJL 32 berkata, lagu itu cukup mencabar daripada segi penghayatan dan emosi. Malah, Ernie yang pertama kali bekerjasama dengan Halen dan Roslen mengakui bertuah kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan mereka.
“Bagi proses menghasilkan lagu Sinar Mata Hati boleh diberikan kredit kepada komposer dan penulis lirik. Dalam masa sama, perjalanan rakaman lagu pula amat mudah sebab mendapat kerjasama baik daripada mereka.
“Saya pernah bekerjasama dengan Halen Yap tetapi bukan dalam studio, selalu jika dia menjadi pengarah muzik untuk program. Dengan Abang Slen pula ini kerjasama pertama kami. Proses rakaman lagu juga cukup mudah apatah lagi ketika itu saya juga sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana dan dalam masa sama kena merakamkan lagu ini.
“Apa boleh dikatakan, ia pengalaman sangat berharga. Lagu ini agak mencabar. Walaupun tidak bernada tinggi atau memerlukan teknik vokal yang susah tetapi lebih kepada emosi yang agak berat. Bagi saya itu satu cabaran juga,” akhirinya.










