SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan berharap parti itu diberi kepercayaan bertanding lebih daripada 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau dan rakan kepemimpinan UMNO di negeri ini percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan menambah bilangan kerusi yang ditandingi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, hasrat UMNO adalah untuk mempertahankan 16 kerusi DUN yang dimenangi dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dan memohon menambah dua kerusi lagi dalam PRN kali ini.
“Saya jangka kerusi UMNO akan bertambah cuma jumlah itu hanya akan diumumkan oleh Majlis Presiden kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat,” katanya di sini semalam.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Barisan Nasional (BN) menang 16 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) meraih 20 kerusi.
Jalaluddin dalam pada itu berkata, telah menghantar nama semua calon BN yang dicadang bertanding dalam PRN kali ini. – UTUSAN











