PUTRAJAYA: Agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) belum selesai dengan baki tiga lagi masih dalam status bertindih.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penentuan dan pertindihan kerusi itu sudah pun dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, malam kelmarin.
Beliau berkata, daripada 246 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi enam negeri itu, kini hanya tiga kerusi yang masih status bertindih.
“Apa yang susahnya, semalam sudah bincang. Daripada 246 kerusi, kini hanya tinggal tiga. Kalau susah, daripada 246 kerusi masih 240 kerusi lagi belum selesai.
“Saya tidak dapat dedahkan kerusi yang masih bertindih itu kerana ia dibincangkan antara Pengerusi PH dan BN.
“Saya pun tidak sempat tanya lagi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Ditanya bila senarai nama penuh calon PH akan diumumkan, Saifuddin berkata, beliau belum menerima apa-apa arahan daripada Pengerusi PH.
“Selaku Setiausaha Agung, saya belum diberi makluman. Dalam soal nak mengisi nama dalam surat watikah itu, ia akan dimaklumkan Pengerusi PH dalam masa terdekat dan yang penting sebelum 29 Julai ini,” katanya.
Kelmarin, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, BN akan mengumumkan senarai calon pada 21 Julai ini.
Sementara itu, ditanya berhubung dakwaan dua parti dalam gabungan BN, MCA dan MIC tidak akan membantu menyokong calon PH, Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.
“Itu territory (bidang) BN, saya tidak mahu komen apa-apa. Kerjasama kita (PH-BN) adalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Pada 5 Julai lalu, MCA dan MIC memutuskan untuk tidak menyertai PRN dan kerusi yang diperuntukkan kepada dua parti itu kemudian diserahkan kembali kepada BN. – UTUSAN











