KEMAMAN: “Saya yakin Putri Nor Fatin dapat ditemukan walau apa jua keadaannya. Ahli keluarga kami pun setia menunggu kepulangannya.”
Demikian luahan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Muhammad Iman Zulhakim Zamri, 29, yang turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini.
Dia yang juga waris keluarga mangsa mengakui operasi SAR kali ini bukan hanya memberi cabaran buat pasukan penyelamat, malah meninggalkan memori hitam kepada dirinya.
Muhammad Iman Zulhakim yang bertugas sebagai anggota APM Hulu Terengganu berkata, dia yang baru bertugas sembilan bulan tidak menyangka akan ditugaskan menyertai operasi SAR ahli keluarganya sendiri.
“SAR kali ini agak sukar untuk saya sebab saya perlu kuat apabila kehilangan ibu dan bapa saudara saya serta enam orang sepupu saya dan seorang bakal ahli keluarga kami.
“Walaupun memang rasa sedih setiap kali nampak mayat mangsa ditemukan, namun saya perlu kuat dari segi emosi dan fizikal. Saya memang berusaha mengetepikan perasaan sedih,” katanya ketika ditemui di Air Putih di sini, semalam.
Muhammad Iman Zulhakim berkata, meskipun hatinya kuat mahu terus mencari mangsa terakhir yang juga sepupunya, Putri Nor Fatin Karim, 14, namun dia perlu akur dengan segala arahan pegawainya.
Katanya, dia dan keluarga ibu saudaranya sememangnya rapat dan tinggal berhampiran di Felda Lepar 3, Pahang.
“Ketika kecil, saya sering bermain dengan sepupu saya dan agak rapat dengan ibu saudara. Kami agak kurang berhubung bila dah besar dan bawa haluan masing-masing.
“Saya sudah lama tak jumpa ibu saudara dan sepupu sebab saya bertugas di Hulu Terengganu. Hari Raya Aidiladha pun kami tak jumpa,” katanya.
Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, sembilan sekeluarga yang berasal dari Felda Lepar Hilir 3, Pahang serta bakal menantu keluarga itu dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat.
Setakat ini, sembilan jasad telah ditemukan iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40 serta lima anaknya iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, Muhammad Zulqarnain Haikal,11, Putri Nurerina
Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Anak tirinya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 ditemui pada Selasa sementara tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, ditemui pada Jumaat lalu. – UTUSAN










