Keganasan rumah tangga jejas kesihatan mental - Utusan Malaysia

Keganasan rumah tangga jejas kesihatan mental

KES keganasan rumah tangga dilaporkan meningkat 42 peratus pada tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang wanita hampir maut apabila suaminya bertindak kejam dengan memasukkan kayu pencanai ke dalam dubur wanita itu kerana didakwa mandul.

Doktor pada mulanya menjalankan ujian X-ray tetapi mendapati tiada sebarang kesan kecederaan di dalam perut wanita berkenaan.

Akhirnya sepasukan lima doktor melakukan pembedahan dan terkejut apabila menemui kayu pencanai sepanjang 40 sentimeter di dalam usus wanita itu.

Tragedi seperti ini barangkali belum berlaku di negara ini tetapi insiden kezaliman dilakukan suami yang diharap sebagai pelindung, kian kerap menjadi tatapan umum di dada akhbar.

Malangnya masih ramai wanita tidak menyedari mereka berada dalam situasi tersebut.

Lebih parah apabila mereka tidak tahu hak dan saluran mengadu yang betul.

Pegawai Psikologi Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Maznah Hassan berkata, keganasan ke atas mangsa biasanya dilakukan berulang kali secara berterusan sehingga menjadi suatu kelaziman dalam rumah tangga tersebut.

PERINTAH KAWALAN
Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut meningkatkan lagi jumlah kes keganasan rumah tangga kerana satu keluarga duduk di dalam rumah.

“Justeru individu berdepan insiden penderaan, sama ada daripada segi fizikal atau mental, perlu segera bertindak. Mangsa perlu laporkan kepada pihak polis, pastikan anda mendapat rawatan doktor jika berlaku kecederaan di Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC). Laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO).

“Jika anda buat keputusan untuk bercerai, failkan penceraian anda di mahkamah,” tegasnya dalam Webinar ‘Hentikan Keganasan terhadap Wanita: Ambil Tahu Hak dan Kesihatan Mental Anda’ anjuran Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME), Helwa ABIM dan Salwa Negeri Kedah.

Masih ramai dalam kalangan wanita tidak menyedari mereka berada dalam cengkaman keganasan suami.

Panel lain ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Aisa Azira Abdul Aziz, Timbalan Presiden FAME, Fadhlina Sidek dan Pakar Perunding Psikiatri Konsultasi Liaison, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Dr. Ahmad Rostam Md. Zin.

Maznah berkata, antara punca berlaku keganasan rumah tangga ialah cemburu atau rendah diri apabila pasangan lebih berpendidikan tinggi atau berpangkat dan kesukaran mengawal emosi.

Ia bertujuan menakutkan atau memaksa. Ini bermakna si pendera sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan. Situasi ini juga bermaksud khianat atau merosakkan harta dengan niat menimbulkan kesedihan atau kegusaran.

“Kebanyakan pendera terdiri daripada golongan lelaki dan mangsa ialah wanita dan kanak-kanak. Perlakuan keganasan terhadap pasangan atau bekas pasangan berlaku dalam bentuk fizikal, gangguan seksual, keganasan pertuturan seperti maki, hamun atau cacian.

“Berlaku juga ugutan yang mengganggu emosi, psikologi dan kewangan,” katanya. Dianggarkan 4,349 kes penderaan kanak-kanak, termasuk penderaan fizikal, seksual dan emosi, selain 1,263 kes penderaan seksual terhadap wanita turut dilaporkan,” katanya.

Statistik itu bagaimanapun hanya melibatkan laporan secara langsung kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Talian Kasih (15999) dan tidak mengambil kira laporan polis.

Wanita perlu celik hak
Organisasi wanita di Malaysia mengambil masa hampir satu dekad memperjuangkan isu keganasan rumah tangga, sebelum Akta Keganasan Rumah Tangga diluluskan pada 1994. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan 2,287 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dengan kebanyakannya berlaku ketika pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP)dilaksanakan.

Fadhlina yang juga peguam syarie berkata, wanita perlu celik undang-undang kerana ia sebahagian daripada hak asasi di mana perundangan bertujuan melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

“Literasi undang-undang di mahkamah syariah ialah undang-undang terkait rapat dengan undang-undang keluarga Islam, pengurusan harta atau harta pusaka, undang-undang dan hukum munakahat,” katanya.

Hirarki mahkamah syariah terdiri daripada Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah (daerah).

Malangnya, kata Fadhlina, kebanyakan wanita tidak mahu mengadu atau membuat tindakan yang betul sebaliknya 80 peratus merujuk atau mengadu kepada rakan wanita atau di media sosial, sedangkan ia bukanlah penyelesaian.

“Antara saluran aduan ialah jabatan bantuan guaman, kaunselor, badan bukan kerajaan (NGO) dan kaunter mahkamah atau peguam swasta,” katanya.

URUS EMOSI
Sementara itu, Dr. Ahmad Rostam menasihati mangsa agar berhenti merahsiakannya.

“Beritahu seseorang yang anda percaya mengenai keadaan anda, sama ada rakan, ahli keluarga atau doktor anda. Bercakap adalah satu-satunya cara untuk anda mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau memberitahu, pengurusan emosi aspek perlu dititikberatkan individu berdepan keganasan rumah tangga. Ia berikutan berada dalam keganasan rumah tangga teruk boleh menyebabkan individu tertekan.

“Penampilan rosak, kehilangan harga diri dan bergantung kepada penderanya. Luka fizikal akan sembuh dari semasa ke semasa tetapi kerosakan psikologi adalah kekal. Bertindaklah secepat mungkin,” katanya.

KEGANASAN:
 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, kira-kira 35 peratus wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan rumah tangga.
 60 peratus wanita tidak tahu mereka adalah mangsa keganasan rumah tangga.
 80 peratus wanita merujuk rakan sekiranya menghadapi masalah.
 50 hingga 60 peratus rakan memberikan nasihat salah.
 80 peratus tidak tahu mengendalikan dokumen prosiding mahkamah.

CELIK UNDANG-UNDANG:
 Wanita klien terbesar di mahkamah syariah.
 60 peratus peguam syarie di Selangor adalah wanita.
 50 peratus pendakwa syarie di Selangor adalah wanita.
 Wanita dan kanak-kanak adalah kumpulan terkesan akibat penceraian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×