ALOR SETAR: “Kalau PH (Pakatan Harapan) cakap mereka sudah ‘pegang’ 16 kerusi, cuba tunjukkan di mana?’’ Demikian soalan Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salim terhadap Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Romani berkata, jika perkiraan Mahfuz di 16 kerusi itu adalah bersandarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau (Mahfuz) sudah membuat perkiraan dan percaturan yang salah.
Menurut beliau, Mahfuz jelas tidak melihat majoriti kemenangan direkod calon Perikatan Nasional (PN) di sesebuah kawasan Parlimen di Kedah yang mencecah puluhan ribu undi.
Justeru, katanya, Pas yakin PN akan mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, bersandarkan sokongan semasa ditunjukkan rakyat serta bancian dijalankan di pelbagai peringkat ketika ini.
“Bancian menunjukkan PN mampu mencapai sasaran seperti dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk menang 33 daripada 36 kerusi.
“Insya-Allah setakat sekarang kami mampu menang 33 kerusi dan itu dibuktikan menerusi bancian yang dibuat. Jentera kami juga kini berada dalam keadaan siap siaga bagi berdepan PRN.
“Kalau pemimpin PH dakwa mereka mampu ambil alih kepimpinan negeri disebabkan kerjasama dengan BN, saya fikir dakwaan itu tak berasas,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, Mahfuz berkata, gabungan PH-BN di Kedah percaya mampu memperoleh kemenangan majoriti mudah pada PRN 12 Ogos ini.
Katanya, kemenangan tersebut berasaskan formula 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tangan dan kini hanya memerlukan tiga kerusi lagi.
REALITI
Wan Romani berkata, PH dan BN perlu berpijak kepada realiti kerana apa yang diungkapkan mereka sebenarnya tidak lebih daripada sekadar provokasi terhadap PN namun sebaliknya yakin rakyat bijak dalam membuat keputusan.
Tambahnya, tindak-tanduk Kerajaan Persekutuan yang seolah-olah tidak mempedulikan Kedah dalam beberapa isu termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) hanya membuatkan rakyat meluat sekali gus mengakibatkan mereka memberi sokongan lebih padu kepada PN sebagai pengajaran kepada kepimpinan Persekutuan.
“Rakyat sudah pasti tertanya-tanya mengapa Perdana Menteri tidak mahu berjumpa Menteri Besar sedangkan segala prosedur termasuk surat permohonan untuk bertemu bagi memberi taklimat mengenai KXP sudah dihantar berkali-kali? Jumpa pembesar dari negeri lain, boleh pula.
“Hakikatnya kita sudah ada hala tuju jelas untuk memajukan Kedah tetapi dihalang oleh pihak tertentu. Semua ini akan dinilai oleh rakyat dan akan dipertimbang sebaiknya sebelum mereka membuat keputusan untuk mengundi dalam PRN nanti,” katanya. – UTUSAN











