PM ajak siswa pilih kompas kebenaran - Utusan Malaysia

PM ajak siswa pilih kompas kebenaran

ANWAR Ibrahim (tengah) dan Mohd. Foad Sakdan (kanan beliau) disambut mahasiswa dan pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABTU lalu telah berlangsung Program Temu Anwar@UUM di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, membabitkan sesi dialog antara pelajar dan mahasiswa di kawasan utara Semenanjung Malaysia dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program ini signifikan sekali kerana inilah kali pertama UUM dikunjungi kembali oleh seorang Perdana Menteri setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu ketika itu melakukannya beberapa kali.

Tanpa paksaan, kira-kira 8,000 pelajar dan mahasiswa dari seluruh Kedah dan Perlis, termasuk dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dan Arau, serta beberapa politeknik dan kolej komuniti serta pelajar tingkatan enam memenuhi dewan untuk bersua dengan Perdana Menteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak ada sebarang perancangan atau tapisan dibuat mengenai siapa yang boleh bertanya serta apa soalan yang boleh ditanyakan sebaliknya semua pelajar dan mahasiswa diberi kebebasan berbuat demikian dan kesemuanya dijawab secara tenang oleh Perdana Menteri.

Seorang mahasiswa bertanyakan Menteri Besar Terengganu mentadbir negeri itu dengan baik sekali dan berjaya meningkatkan ekonomi negeri beberapa kali ganda berbanding kerajaan sebelum itu dan mengapa perlu ditukar Menteri Besar yang cemerlang?

Perdana Menteri menjawab dengan tenang berserta hujah-hujah nyata mengapa berlaku kemajuan terhadap negeri berkenaan kerana bantuan kerajaan Pusat dan cara Anwar menjawab mendapat pujian rata-rata anak muda di TikTok dan media sosial lain.

Dalam ucapan santai beliau, Perdana Menteri mengingatkan pelajar dan mahasiswa untuk menggilap idealisme serta punyai minda yang kritis dan terbuka dalam menyingkap pelbagai permasalahan dalam negara, bukan menerima sahaja segala apa yang diperkatakan orang lain.

Lebih menarik lagi, Perdana Menteri memetik tulisan sekitar 1930-an daripada buku seorang pemikir Sepanyol, José Ortega y Gasset, bertajuk La Rebelión de las Masas atau The Revolt of the Masses, setelah diterjemah dalam bahasa Inggeris, untuk menguatkan pandangan beliau.

Kata Perdana Menteri, José Ortega membicarakan tentang keperluan ke atas pemikiran, pencerahan, kefahaman, kecerdasan, kesedaran atau taw’iya supaya tidak lahir satu kelompok generasi yang terkongkong akibat apa yang dinamakan Barbarism of Specialization.

Maknanya ialah walaupun kita semua harus ada bidang pengkhususan masing-masing tetapi kita juga perlu menguasai bidang-bidang lain, perlu ada perbicaraan terbuka dan wacana segar, supaya kita tidak menjadi tandus, lembab dan jumud serta menjadi wala’un dan macai.

Oleh itu, Perdana Menteri mengingatkan pelajar dan mahasiswa supaya berfikir, berwacana, membacalah sebanyak mungkin dan mengambil sikap yang lebih terbuka, berlapang dada, berhujah dengan baik, jangan memfitnah, mencaci atau cepat menghukum seseorang.

Tambah Perdana Menteri, pelajar dan mahasiswa mesti mencari kebenaran, mendengar dan membuat penilaian, waima daripada seorang Perdana Menteri atau tok guru yang berserban kerana setiap sesuatu mesti bersandarkan kompas kebenaran.

Sebab itu, kata Perdana Menteri arahan kerajaan perpaduan adalah pelajar dan mahasiswa akan diberi ruang untuk bersuara, memprotes atau membuat bantahan, cuma mereka perlu patuh kepada undang-undang, menggunakan fakta, tidak mencaci maki serta tidak memfitnah.

FITNAH

Dalam konteks inilah Perdana Menteri memberikan beberapa contoh dalam mana beliau sendiri difitnah sejak memegang jawatan tersebut sambil meminta pelajar dan mahasiswa menilai dan menyemak maklumat yang diterima selaras dengan semangat Malaysia yang progresif.

Antara fitnah yang dijadikan contoh ialah dakwaan bahawa sejak menjadi Menteri Kewangan beliau telah zalim kepada negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang sedangkan hakikat sebenarnya peruntukan untuk Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu ditambah.

Fitnah lain ialah Islam akan dipinggirkan di bawah kerajaan perpaduan sedangkan hakikat sebenarnya peruntukan untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditambah menjadi RM1.5 bilion, begitu juga dengan peruntukan untuk institusi-institusi pendidikan Islam.

Satu lagi fitnah yang diperjelaskan ialah kononnya Malaysia sudah gagal ekonominya sedangkan hakikat sebenarnya lebih banyak petunjuk ekonomi yang positif seperti pertumbuhan dan pelaburan yang tinggi (5.6% dan RM71 bilion) serta inflasi dan pengangguran yang rendah.

Berbanding kerajaan sebelum ini, prestasi sekarang lebih baik kerana hanya satu sahaja daripada lima aspek ekonomi yang bermasalah, iaitu kejatuhan nilai mata wang, yang berkait dengan kadar faedah rendah yang sedang dibaiki perlahan-lahan kerana jika dinaikkan ia memudaratkan rakyat.

Fitnah seterusnya ialah dakwaan kononnya beliau berbohong dalam isu bantuan pelupusan hutang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebanyak RM8.3 bilion yang dikatakan telah selesai sedangkan kelulusan baru sahaja diberikan oleh Menteri Kewangan pada akhir Jun lalu.

Memang ada persetujuan ke atas bantuan ini dahulu, tetapi ia tidak dilaksanakan dan hanya dalam Belanjawan Madani yang dibentangkan oleh Perdana Menteri sendiri barulah kerajaan perpaduan mula menyerahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang Felda tersebut.

Program begini amat bagus sekali, dan menjadi tanda kekuatan Perdana Menteri yang sanggup mendengar sendiri dan menyelesaikan serta-merta keluhan seperti dalam isu e-belia, bayaran yang tidak sepadan atau tiada langsung ke atas pelajar dan mahasiswa yang menjalani internship.

Dalam program di UUM yang turut dihadiri Naib Canselor, Profesor Dr. Mohd. Foad Sakdan, ditanya juga mengenai rangkaian capaian internet tanpa wayar (WiFi) di sini masih bermasalah, Perdana Menteri menyatakan akan mengusahakan kemudahan baharu di semua universiti tahun ini juga tanpa menunggu sistem rangkaian 5G yang mungkin mengambil masa.

Sesungguhnya kehadiran Anwar bersemuka dengan siswa ini memberi pendedahan secara langsung yang tidak sama penjelasan melalui akhbar, televisyen, Facebook, Instagram, Twitter, Threads atau TikTok kerana keikhlasan dan kejujuran akan terpancar terus ke hati siswa. Mereka yang akan menentukan masa depan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Seksyen Media, Komunikasi Korporat Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×