Undi perantau, anak muda bukan lagi simpanan tetap Pas

Undi perantau, anak muda bukan lagi simpanan tetap Pas

KOTA BHARU 20 NOVEMBER 2022 - SEBAHAGIAN daripada penyokong Pas yang meraikan kejayaan semasa pengumuman kemenangan kerusi Parlimen di Pejabat Pas negeri, Kota Bharu, Kelantan.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA teruja membaca kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad, kelmarin bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan memberi lebih tumpuan untuk mendekati perantau dan golongan muda dalam usaha memastikan kemenangan di Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang. Beliau yang juga Naib Presiden PKR dilaporkan akan menggunakan pelbagai strategi termasuk pertemuan secara fizikal dan melalui pendekatan media sosial bagi mendekati dua golongan yang sebelum ini banyak memihak kepada Pas.

Sebelumnya, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani juga dilaporkan mengajak golongan perantau untuk mengubah negeri itu dengan menukar pucuk pentadbiran pada PRN tidak lama lagi. Beliau berkata, kegagalan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas menyelesaikan banyak perkara melibatkan kemudahan asas, sosioekonomi dan sebagainya memperlihatkan tiada sebab untuk terus memberi mandat selepas ini. Dua perkara beliau beri contoh ialah kegagalan Pas menyelesaikan masalah bekalan air sejak sekian lama dan kegagalan menarik pelaburan baharu bagi mencipta peluang pekerjaan yang baik untuk anak muda.

Adalah satu fakta bahawa perantau dan golongan muda mengundi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Sejurus keputusan PRU14 diumumkan, Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengucapkan setinggi penghargaan kepada perantau kerana pulang mengundi parti itu. Kata beliau, pengundi luar dan golongan muda menjadi faktor utama mengapa Pas mampu mengekalkan pentadbirannya di Kelantan pada PRU14 kerana golongan ini didapati sudah mendapat kesedaran tinggi untuk mengundi Pas, kononnya supaya dasar Membangun Bersama Islam dapat diteruskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemimpin PH dan BN perlu kaji dengan teliti apa yang dibuat oleh pemimpin Pas untuk menarik sokongan perantau dan golongan muda. Sejak hampir kalah di Kelantan dalam PRU11 pada 2004, pemimpin Pas segera mengaktifkan Persatuan Anak-Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) bagi mendekati perantau dan golongan muda. Mereka menubuhkan Perakan di segenap daerah dan negeri bagi membuat aktiviti yang dananya mereka salurkan. Mereka menjelajah ke seluruh pelosok negara untuk bertemu muka dan berkempen dengan perantau dan golongan muda.

Setiap kali Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, mereka menyalurkan dana kepada Perakan di segenap daerah dan negeri untuk menganjurkan majlis berbuka puasa dan sambutan hari raya serta pemberian bantuan-bantuan tertentu. Saya difahamkan dalam setiap majlis ini mesti ada slot untuk pemimpin Pas menceritakan kebaikan mereka dan menghebahkan keburukan parti lawan. Kemuncak semua ini ialah pada setiap 2 Syawal di Kota Bharu diadakan Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri bersama Anak Kelantan di Perantauan.

400 BAS

Lebih jauh lagi, pemimpin Pas bukan setakat berkempen menyeru perantau dan golongan muda untuk pulang mengundi tetapi mereka memastikan perkara ini berlaku. Dalam PRU15 contohnya, Setiausaha Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan pihaknya menyediakan secara percuma sebanyak 400 bas membabitkan 8,000 penumpang untuk pulang mengundi.

Kepulangan mereka disambut sama ada oleh pemimpin atau petugas PN. Perantau dan golongan muda yang pulang menggunakan kenderaan sendiri pula akan dipastikan mendapat sagu hati berupa duit minyak.

Berdasarkan perhatian istimewa pemimpin Pas kepada perantau dan golongan muda ini, tidak hairanlah jika ramai daripada mereka mengundi Pas dan PN pada PRU14 dan PRU15 lalu. Ini ditambah isu-isu 3R terutama agama dan perkauman, penggunan sentimen dosa dan pahala dalam mengundi, dan sebagainya yang sentiasa dimainkan oleh pemimpin Pas sedangkan ini semata-mata bertujuan mengaburi mata perantau dan golongan muda daripada melihat kegagalan mereka mentadbir dengan baik. Malang bagi mereka, dalam PRN ini sudah ditegaskan bahawa isu-isu 3R sudah tidak boleh lagi dimainkan.

Sebelum ini sudah ada kajian pemerhatian menunjukkan Pas dalam sesuatu PRU sebenarnya sudah kalah jika hanya pengundi yang menetap di Kelantan diambil kira. Ini kerana pengundi yang menetap di Kelantan sudah bosan dan tertekan dengan pelbagai masalah yang mereka terpaksa hadapi dalam kehidupan harian termasuk isu bekalan air yang tidak berkesudahan, isu kekotoran dan sebagainya. Malangnya bila perantau dan golongan muda pulang, sikap anti-establishment menyebabkan mereka dan orang yang dipengaruhi mengundi Pas.

Walaupun begitu, peluang untuk mengubah suasana masih ada. Pengundi baharu daripada golongan muda masih tidak mempunyai kesetiaan politik yang kuat, begitu juga perantau. Kajian Muhamad Nadzri mendapati bilangan pengundi yang membuat pilihan secara rasional, lebih matang, terbuka dan kritikal berbanding golongan pengundi yang mengidentifikasikan diri kepada parti politik tertentu semakin meningkat. Perantau dan golongan muda yang terdedah dengan arus pemodenan dijangka berupaya membuat pilihan secara rasional.

Mazli Mamat dan Mohd. Rahimi Ramli yang membuat tinjauan di lapangan dan secara dalam talian ke atas pengundi luar Kelantan di Lembah Klang sekitar Mac hingga Disember 2020 mendapati majoriti responden, iaitu 325 orang (80.6%) tidak menyertai mana-mana parti politik manakala 48 orang (11.9%) yang menyertai parti politik pula hanya menjadi ahli biasa yang pasif. Oleh itu, selaras dengan kenyataan Nik Nazmi mengenai tumpuan PH dan BN untuk mendekati golongan ini, status mereka sebagai simpanan tetap Pas tidak lagi akan terjamin. – UTUSAN

Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom di Jabatan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×