SHAH ALAM: Tiga ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor mengesahkan tidak mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini atas faktor usia dan mahu memberi tumpuan kepada Parlimen.
Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Perdagangan, Datuk Teng Chang Khim; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin, Ganabatirau Veraman.
Chang Khim yang mewakili DAP sebelum ini menjadi wakil rakyat empat penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, Bandar Klang, Sungai Pinang dan Bandar Baru Klang.
Dr. Siti Mariah (Amanah) wakil rakyat selama tiga penggal bagi Parlimen Kota Raja dan sepenggal di DUN Seri Serdang.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Borhan Aman Shah berkata, beliau tidak menolak terdapat wakil-wakil rakyat daripada partinya di negeri ini yang sudah berkhidmat selama tiga penggal sejak 2008 bercadang untuk tidak meneruskan hasrat menyertai PRN.
“Setakat ini, yang sah maklum tidak mahu bertanding seperti Chang Khim dan Dr. Siti Mariah, selain itu ada juga yang berkemungkinan berhasrat sedemikian, tetapi masing-masing meletakkan keputusan itu kepada parti sama ada masih memerlukan mereka atau tidak,” katanya ketika dihubungi.
Oleh itu, kata beliau, PH Selangor bakal menawarkan muka-muka baharu terdiri calon muda termasuk wanita untuk PRN dijangka Ogos ini.
“Dalam perbincangan peringkat negeri ada dimaklumkan tentang calon-calon baharu dan generasi muda di kawasan-kawasan tertentu dan berpotensi menang untuk diangkat sebagai wakil. Bagaimanapun keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan.
“Ini termasuk mendengar permintaan daripada kumpulan seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR yang meletakkan sasaran 30 peratus calon mereka dalam PRN di negeri ini, namun itu semua bergantung kepada pucuk pimpinan untuk menilai kemampuan mereka,” jelasnya.
BERTANDING
Sementara itu, Ganabatirau ketika dihubungi mengesahkan permintaannya kepada DAP untuk tidak bertanding pada PRN Selangor bagi membolehkannya memberi tumpuan di Persekutuan selepas memenangi Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Sudah lama saya maklumkan kepada parti sejak menang di Klang, sudah dua penggal saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota MMKN (Exco). Itu cukup memberikan saya pengalaman untuk memberi tumpuan kepada isu-isu di Persekutuan dan Putrajaya.
“Bagaimanapun, saya turut memaklumkan kepada parti meskipun tidak lagi bertanding, Kota Kemuning mestilah terus diwakili oleh wakil rakyat daripada DAP,” jelasnya.
Tahun lalu, selain beliau, barisan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail turut menang di Parlimen Gombak dan Ampang pada PRU15.
Selain beliau, ADUN yang turut menganggotai Dewan Rakyat seperti penyandang DUN Taman Templer, Mohd. Sany Hamzan yang menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat dan DUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (Parlimen Kuala Langat). – UTUSAN











