KUALA LUMPUR: Orang Melayu tidak perlu takut pada DAP selepas rekod baik yang dicatatkan parti itu sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebaliknya ketakutan yang timbul sebelum ini hanyalah naratif dimainkan pihak lawan untuk menarik undi Melayu khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Malah, menurut Aminuddin, rekod pemerintahan PH sewaktu 2018 cemerlang dan tiada rasuah ketika bersama DAP.
“Melayu tidak harus takut dengan DAP, kita bersama dengan mereka sebagai rakan untuk tadbir secara aman dan makmur. Ini dibuktikan kerajaan Negeri Sembilan, di mana kita mampu tingkatkan hasil negeri pelaburan, tidak ada isu rasuah dan sebagainya. Ia jelas dan kita sudah buktikan, “ katanya ketika ditemui, semalam.
Beliau mengulas isu perkauman yang dimainkan pihak tertentu sehingga menjadikan ia sebagai naratif, dengan harapan dapat merampas kerajaan negeri daripada PH yang kini dengan kerjasama rakan politik baharu, Barisan Nasional (BN).
Mengenai keyakinan Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan sasaran 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoritinya Melayu, Aminuddin berkata, ia hanyalah berdasarkan statistik.
Namun katanya, perjuangan parti itu bukanlah untuk Melayu semata-mata seperti yang dikatakan.
“Itu tidak dinafikan ada sedikit kegusaran apabila politik dulu adalah politik yang penuh dengan perkauman yang diasah, dimomokkan dengan kebencian yang amat dahsyat sekali.
Sehinggakan kesalahan itu jatuh pada DAP walaupun DAP tidak bersalah pun sebenarnya.
“Sewaktu mereka (Bersatu dan Pas) menjadi kerajaan, masa dia peluk dia lupo (lupa), masa kenal indah belaka, jumpa dengan keluarga tukar cincin, pinang elok-elok.
“Bila bercerai semua habis. Bukan anak sahaja bercerai, mak ayah pun gaduh sekali. Pada asalnya nak dekatkan silaturrahim, tetapi sekarang kalau boleh nak berbunuh-bunuh.
“Sebab itu saya katakan, kalau kita kaji kembali tiada apa pun ketakutan pada DAP sebenarnya,” kata beliau.- UTUSAN











