PETALING JAYA: Belum terlambat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mencapai persefahaman untuk mengelakkan dari berlakunya perpecahan undi dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.
Pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, beliau menyimpan cita-cita untuk melihat Muda bekerjasama dengan PH dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun tidak mengetahui apakah berlaku antara kedua-dua parti itu setelah bersara daripada politik.
Katanya, PRN kali ini disifatkan amat kritikal kerana menentukan sama ada Malaysia berjaya dalam mencapai lebih daripada apa diimpikan di samping menjadi juara dunia dalam pelbagai bidang diceburi dan yang lebih penting menjadi contoh persefahaman serta toleransi.
“Keputusan enam pilihan raya ini bukan semata-mata untuk Kerajaan Perpaduan Anwar tetapi ia lebih kepada menentukan sama ada Malaysia akan berjaya kembali semula kepada prinsip Malaysia majmuk yang diterapkan oleh tokoh kemerdekaan negara termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga Presiden UMNO ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Ia merangkumi prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan beragama untuk kepercayaan yang lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, pengakhiran segala bentuk kezaliman dan ketaksamaan dalam negara,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Kit Siang menasihatkan Muda tidak tergesa-gesa bertanding sendiri, sebaliknya perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi menghadapi PRN.
Pada minggu lalu, Muda mengambil keputusan untuk bergerak secara solo untuk menghadapi PRN tidak lama lagi. – UTUSAN











