KANGAR: Isu kutipan sampah tidak teratur di sepanjang laluan Persiaran Makanan Bintong di sini, mengundang keresahan penduduk setempat yang terpaksa berdepan pencemaran bau.
Masalah tersebut turut mencemarkan pemandangan berikutan longgokan sampah berada di tepi laluan utama di kawasan berkenaan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang penduduk di Taman Emas Jaya, di sini, Yap Beng Ean, 63, berkata, isu kutipan sampah tidak konsisten berlaku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ada pihak membuangnya sesuka hati.
“Kawasan ini kekurangan tong sampah dan mendorong mereka yang tidak bertanggungjawab melonggokkan sampah secara sesuka hati di tepi jalan.
“Selain bau busuk, longgokan sampah mengundang imej kurang baik memandangkan ia terletak di tepi laluan utama di sini,” katanya.
Beng Ean berkata, pihaknya pernah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil berhubung masalah itu.
Bagaimanapun, katanya, isu tersebut masih berlarutan dan tiada langkah penyelesaian diambil bagi mengatasinya.
“Memang ada kutipan dilakukan namun tidak dilaksanakan secara konsisten. Saya harap langkah penyelesaian dapat dilaksanakan sebaiknya dalam mengatasi isu ini yang sudah berlarutan sejak PKP lalu,” katanya.
Sementara itu Naib Pengerusi PKR negeri, Gan Ay Ling berkata, menerusi maklumat diterimanya sebelum ini, terdapat sekitar lima ‘titik panas’ sampah haram di sepanjang laluan Persiaran Makanan Bintong.
Kata beliau, pihaknya akan berusaha merujuk permasalahan itu kepada MPK bagi mencari penyelesaian jangka panjang. – UTUSAN











