Jentera BN, PH sudah diselaras, digerakkan - Ahmad Zahid

Jentera BN, PH sudah diselaras, digerakkan – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi berjalan keluar selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera BN dan parti komponen PH di keenam-enam negeri yang terlibat PRN sudah diselaraskan untuk kelancaran kempen semasa PRN nanti.

Katanya, BN dan PH kini dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi PRN.

“Persediaan di keenam-enam negeri terlibat PRN dari segi penyelarasannya, BN dan PH telah bersiap siaga.

“Malah kita telah memulakan kerja-kerja itu di peringkat PDM (Pusat Daerah Mengundi) berserta di peringkat bahagian-bahagian, semua jentera telah digerakkan di keenam-enam negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau ditemui pada majlis penyembelihan lembu korban sempena Aidiladha di Masjid al-Falah Sungai Nipah, Selekoh di sini semalam.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tuminah Hamidi di pekan Bagan Datuk bersama hampir 1,000 jemaah.

Sementara itu, mengenai rayuan penggantungan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Zahid berkata, dalam kes tersebut, bukan hanya Tajuddin yang digantung kerana melanggar disiplin.

“Banyak lagi orang (pemimpin UMNO) yang kena gantung,” katanya.

Tajuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal kerana mengkritik parti.

Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan pada 30 September tahun lalu.

Tajuddin telah mengemuka rayuan penggantungan beliau dan berkata, semua usaha telah dilakukan untuk kembali menjadi ahli UMNO termasuk isterinya, Datin Seri Rohkiah Abdul Samat bertemu sendiri dengan Ahmad Zahid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×