ARAU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk melihat sejauh mana kekuatan parti dan penerimaan oleh pengundi yang sudah biasa memilih pakatan atau gabungan parti-parti politik dalam pilihan raya.
Bagi pemerhati politik, mereka melihat belum tiba masanya untuk Muda bergerak solo termasuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Sebaliknya, Muda masih perlu bersama dalam mana-mana gabungan yang sudah kukuh sama ada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).
Mengimbau kembali sejarah, mana-mana parti baharu yang muncul termasuk PKR sendiri pada 1999 memilih untuk bersama gabungan parti-parti politik lain dan mengambil masa yang lama untuk menjadi sebuah parti yang kuat dan kukuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, daripada segi idealisme, keputusan Muda untuk menjadi blok ketiga dalam mendepani PRN wajar dipuji, namun secara realistik ia tampak terlalu sukar untuk menang walau satu kerusi.
Katanya, bagi merealisasikan idea perjuangan, Muda perlu membentuk kerajaan atau menjadi sebahagian daripada kerajaan dan jika sebaliknya, perjuangan itu sekadar menjadi angan-angan kosong.
“Merujuk kepada sejarah penglibatan parti-parti politik baharu sebelum ini, mereka tidak bergerak solo, sebaliknya bergerak dalam satu blok politik. Kita ambil contoh Keadilan (PKR) pada 1999, parti itu juga bersama di dalam sebuah gabungan politik.
“Begitu juga Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bekerjasama dalam gabungan PH pada pilihan raya 2018 dan kini, Bersatu tetap bersama dalam gabungan (Perikatan Nasional).
“Kita ambil contoh, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), meskipun diketuai negarawan ulung (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang cukup berpengaruh, parti itu tidak menang walau satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 malah banyak kehilangan wang deposit.
“Muda juga boleh berdepan situasi sama jika bergerak solo,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, biarpun mengakui tindakan ‘berperang’ secara solo pada PRN meletakkan parti itu dalam risiko, MUDA bersedia menerima sebarang keputusan sama ada menang atau kalah.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, MUDA ingin menjadi wake up call kepada parti kerajaan perpaduan hari ini kerana dilihat terlalu selesa dengan sokongan majoriti 148 ahli Parlimen.
Malah jelas Ahli Parlimen Muar itu, banyak perkara asas yang sepatutnya dibuat daripada awal, namun perkara itu tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini, sekaligus MUDA berpendirian untuk terus bertanding secara solo di enam negeri pada PRN nanti.
Terdahulu, Syed Saddiq berkata, keputusan MUDA bertanding solo dicapai secara konsensus dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti selepas perbincangan bersama dengan masyarakat dan badan bukan kerajaan mengenai hala tuju parti.Muhammad Izmer berkata, pola sokongan pengundi di negara ini dilihat masih kukuh terhadap blok-blok politik.
“Muda juga kena ingat, saiz pengundi tetap sama dan jika menyasarkan orang muda, PN sebagai blok politik sudah berjaya menarik sokongan golongan berkenaan. Muda sepatutnya bertanding bersama dalam blok-blok politik untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun untuk melihat sejauh mana kekuatan.
“Parti politik bukan bentuk hari ini boleh terus kuat, PKR juga mengambil masa cukup lama termasuk pernah hilang hampir semua kerusi pada pilihan raya 2004. Tanam benih dulu, biar tumbuh dengan baik terlebih dahulu. Kalau masih bergerak solo, Muda bakal berdepan nasib sama seperti parti-parti lain yang pernah bergerak solo sebelum ini,” katanya. – UTUSAN











