Adapun ibadah korban yang dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha itu berdasarkan kisah Nabi Ibrahim a.s dengan anaknya, Nabi Ismail a.s. Istilah pengorbanan itu juga mempunyai makna lebih meluas, tidak terhad kepada ibadah dalam bulan Zulhijjah sahaja.
Buat umat Islam, perbuatan korban menjadi sebahagian teras kekuatan dalam membentuk keimanan yang teguh dan jati diri unggul dalam diri seseorang. Ini kerana kehidupan di dunia diciptakan penuh dengan liku yang menuntut pengorbanan insan menjalaninya.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud, “Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, kami beriman, sedangkan mereka belum diuji (bagi membuktikan keimanan mereka)?” (al-Ankabut, 29:2)
Seorang bapa akan diuji dengan cabaran mencukupkan nafkah. Pada masa kini, kos sara hidup semakin meningkat, penggunaan teknologi semakin canggih dan gaya hidup semakin pantas memerlukan para bapa berkorban lebih masa dan tenaga demi memastikan keperluan keluarga dipenuhi. Keringat yang mengalir atas kudrat dikerah itu, bahkan tidak sekali sia-sia.
Dalam hal mencari nafkah ini, sahabat Rasulullah SAW, Umar bin Al-Khattab r.a mengutamakan mencari nafkah daripada berperang (jihad) kerana Allah SWT dengan berkata, “Sesungguhnya aku mati di atas pelana untaku ketika mengembara di muka bumi mencari kurniaan Allah adalah lebih aku sukai daripada dibunuh dalam peperangan kerana Allah, kerana Allah SWT telah melebihkan orang-orang yang mengembara di muka bumi mencari kurniaan-Nya” yang merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah Al-Muzzammil ayat 20.
Seorang ibu pula berjuang dengan kelelahan mengandung, melahirkan, menyusu dan mengasuh anak-anak demi memastikan mereka berpeluang untuk membesar menjadi seorang manusia berjaya. Pengorbanan ini menempatkan para ibu sehingga tiga kali lebih utama kepada seorang anak untuk diberi khidmat bakti.
Orang yang ‘tidak tahu’ pula harus berjuang dan melakukan pengorbanan demi menguasai sesuatu ilmu. Tiada istilah ‘berehat’ serta sanggup berpenat lelah menjadi mujahadah dalam pengorbanan hidup seseorang yang menuntut ilmu. Sebab itulah Allah SWT berfirman dalam surah
al-Mujadalah ayat 11 bermaksud: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”
Kisah Habil dan Qabil yang memberi ‘korban’ kepada Allah SWT dalam menentukan pasangan hidup (isteri) mereka juga boleh diteladani. Habil mempersembahkan kambing yang terbaik manakala Qabil mempersembahkan gandum yang buruk sebagai ‘korban’ masing-masing. Lalu persembahan Habil yang terbaik itu menggambarkan ketakwaan jiwanya dan diterima oleh Allah SWT. Persembahan gandum yang buruk oleh Qabil pula menggambarkan sifat kotor dalam jiwanya, lalu tidak diterima oleh Allah SWT. Dalam kisah ini, walaupun kedua-duanya akur untuk memberikan pengorbanan, sifat dalam diri terserlah dalam ‘korban’ yang dipersembahkan.
Begitu juga dengan diri kita, sekiranya pengorbanan yang dilakukan atas dasar keterpaksaan dan sambil lewa, maka sukar untuk mendapat hasil diidamkan. Pengorbanan yang dilakukan mengikut jalan terbaik dan ikhlas pula, maka ia akan diterima oleh Allah SWT.
SOMBONG
Orang-orang yang sengaja mengelak untuk melakukan pengorbanan khususnya yang telah dipertanggungjawabkan ke atas dirinya adalah orang yang mementingkan diri dan hampir kepada sifat sombong. Sedangkan sifat sombong itu pula tidak disukai oleh Allah SWT.
Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri.” (Luqman, 31:18)
Pada masa sama, janganlah pula seseorang itu melakukan pengorbanan sehingga membinasakan dirinya. Islam melarang umatnya sengaja meletakkan diri dalam kebinasaan.
Firman Allah SWT: “Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya…” (Al-Baqarah, 2:233)
Mendepani cabaran semasa dalam konteks Islamofobia, kurang daya tahan ekonomi, kadar keintelektualan tidak seimbang dan sifat persaudaraan yang memudar, umat Islam kini harus bersedia untuk melakukan pengorbanan lebih besar bagi mengembalikan kegemilangan agama suci ini.
Kita tidak lagi boleh berasa selesa dengan keadaan sedia ada dan beranggapan negara tercinta ini tidak akan berdepan cabaran lebih besar pada masa akan datang. Ataupun, tidak boleh beranggapan sentiasa ada orang-orang yang akan menyelamat dan mempertahankan kita daripada dizalimi, lantas memilih untuk hidup tanpa usaha bagi meningkatkan keupayaan diri.
Pengorbanan yang harus dilakukan ini hendaklah bermula dengan memastikan proses pendidikan khususnya kepada anak-anak muda tidak terhenti di peringkat minimum sahaja. Hal demikian kerana ketika ini, terdapat kekhuatiran anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang berminat menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.
Bagaimanakah umat Islam hendak menjadi individu yang kuat dan Malaysia menjadi sebuah negara maju sekiranya masyarakat tidak mempunyai ilmu dan kemahiran diperlukan?
Pengorbanan tinggi daripada ibu bapa diperlukan untuk menggalakkan anak-anak menyambung pelajaran sekalipun terpaksa bekerja keras menampung keperluan mereka. Pengorbanan pihak pemerintah pula diperlukan bagi mengkaji faktor-faktor yang mendorong anak muda tidak melanjutkan pelajaran sekali gus menambah baik keadaan itu. Ini termasuk melihat semula sistem pendidikan sedia ada, pembiayaan pelajaran, peluang pekerjaan sepadan dan kos sara hidup semasa.
Mengakui kelemahan dan memperbaiki kelemahan itu ialah satu pengorbanan tidak ternilai maknanya demi masa depan agama dan negara. Tiada gunanya berasa sombong dan enggan mengakui kesilapan kerana ia hanya akan membinasakan diri dan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah Felow, Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











