DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai

DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai

AMINUDDIN Harun menunjukkan watikah pembubaran DUN Negeri Sembilan dalam sidang akhbar di Wisma Negeri, Seremban, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 akan dibubarkan pada 1 Julai ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarikh pembubaran DUN itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda di Istana Hinggap di sini semalam.

“Alhamdulillah, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan iaitu pada 1 Julai 2023.

“Ini adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukan di bawah Ceraian (2) Fasal 56, bahagian Yang Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini.

Aminuddin berkata, sehubungan itu beliau memohon pihak pejabat Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan menyegerakan pemakluman rasmi tarikh pembubaran berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ia bagi memberi ruang PRN diadakan serentak dengan lima DUN yang lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, susulan pembubaran berkenaan, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan berfungsi sebagai kerajaan interim atau caretaker.
.
Aminuddin dalam pada itu berterima kasih kepada rakyat Negeri Sembilan yang memberi mandat kepada Krajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum yang lalu bagi mentadbir negeri ini.

“Tempoh lima tahun ini, kami telah gunakan bagi memastikan bahawa pembangunan negeri dilaksanakan dan membantu masyarakat dengan bersungguh-sungguh serta memastikan apa yang dikatakan dapat dikotakan,” katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, Pakatan Harapan (PH) membentuk pentadbiran kerajaan negeri setelah memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN. Baki 16 kerusi lagi dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).n – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×