ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebagai seorang yang lawak kerana menuduh beliau menggalakkan keganasan melalui ucapan yang didakwa cuba mengaitkan peristiwa Constantinople dengan Pulau Pinang.
Menurut Muhammad Sanusi, kelakuan Guan Eng tidak ubah seperti budak-budak yang sering menganggap semua perbuatan orang lain sebagai ancaman dan merupakan penyakit yang ada dalam kalangan pimpinan DAP, sedangkan apa yang diucapnya hanya sekadar metafora.
“Lawaklah Guan Eng ini, beliau macam budak-budak. Rasanya selepas ini kalau saya makan pun, beliau akan kata saya berbuat demikian untuk sihat kerana nak lawan dengannya. Entah apa justifikasi digunakan mereka dalam hal itu, kita pun tak tahu.
“Ucapan saya tentang Constantinople adalah metafora dan Constantinople pun tak ada sekarang ini kerana dah jadi Istanbul,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Rasmi Kenderaan Menteri Besar dan Exco berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Semalam, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa Muhammad Sanusi menggalakkan keganasan apabila menyamakan usaha menawan Pulau Pinang dengan penaklukan Constantinople hampir 600 tahun lampau.
Tambah Muhammad Sanusi, metafora yang sering digunakannya merupakan satu bentuk seni dalam ucapan namun ada pihak yang tidak pandai untuk bercakap dan memahami bahasa Melayu.
“Saya rasa beliau kena perbetul banyak perkara sebelum cakap tentang perkara tidak benar mengenai orang lain. Kena fahamkan dulu bahasa dan metafora. Masih ingat lagi beliau metaforakan dirinya sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz, yang itu tak salah pula sedangkan dia bukan Islam,” katanya.
Dalam pada itu katanya, sikap ditunjukkan Guan Eng sebenarnya yang berbahaya kerana hanya beliau sahaja boleh berbuat segalanya sedangkan orang lain tidak boleh.
“Ada satu bangsa di dunia ini yang yang bersikap sedemikian dan duduk di Israel. Mereka buat nuklear tak apa tetapi orang lain tak boleh. Nanti depa kata saya samakan Guan Eng dengan Israel pula tetapi yang saya maksudkan perangai. Metaforanya semua benda nak ‘riau’ (merengek) orang salah, tetapi dia buat boleh dan ‘hangpa’ nak sokong lagi orang macam itu?” katanya.
Terdahulu, beliau bersama barisan Exco Kedah menyerahkan kenderaan rasmi masing-masing yang merupakan satu usaha bagi mengajak semua pihak untuk menjalani proses demokrasi dengan betul.
Katanya, kesemua mereka akan menggunakan kenderaan peribadi selepas ini meskipun masih perlu menghadiri mesyuarat Exco serta menjalankan tugas-tugas sedia ada hingga berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kebanyakan yang berlangsung selepas ini adalah kempen PRN. Disebabkan itu, kita elak daripada dituduh guna kenderaan kerajaan untuk kempen parti. Itu lebih baik dan selamat kerana sekarang ini banyak orang suka bercakap benda tak betul serta luar konteks,” katanya.
Dalam pada itu, sesi penyerahan watikah pembubaran DUN Kedah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berlangsung hari ini yang disampaikan oleh Setiausaha DUN Kedah, Mohamad Azlee Ahmad kepada Pengarah SPR negeri, Aldrina @ Mimi O.P Andu. – UTUSAN











