Kenaikan tahunan 2% pencen tidak beri banyak manfaat

Kenaikan tahunan 2% pencen tidak beri banyak manfaat

KERAJAAN membayar perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai PKKP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelarasan pencen tahunan sebanyak dua peratus secara kadar rata atau `flat rate’ sejak Januari 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara kakitangan awam dan bertentangan dengan peruntukan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim membatalkan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 dan mengembalikan pemakaian Akta Pelarasan Pencen 1980.

Turut bersidang Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim serta Datuk Rhodzhariah Bujang.

Ketika membacakan penghakiman sebulat suara itu, Hakim Mohamad Zabidin menyatakan, menurut Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen), tiada sebarang keperluan untuk seseorang pesara menunjukkan beliau telah mengalami kerugian sebelum undang-undang yang kurang memberi manfaat didapati telah melanggar peruntukan Perlembagaan itu.

“Kewujudan risiko timbulnya situasi yang kurang bermanfaat atau kemungkinan akan wujudnya keadaan sebegitu sudah cukup untuk menunjukkan situasi kurang bermanfaat itu sudah terjadi.

“Adalah tidak relevan untuk menunjukkan undang-undang yang dipertikaikan telah menyebabkan pesara mengalami kerugian,” ujar hakim itu.

Berhubung mengembalikan semula pemakaian Akta Pelarasan Pencen 1980 katanya, timbul beberapa persoalan mengenai penggunaan semula undang-undang yang telah dimansuhkan apabila pindaan dibuat.

“Antara persoalan yang ditimbulkan adalah sama ada undang-undang sebelum pindaan boleh diberkuatkuasa semula selepas pembatalan undang-undang yang dipertikaikan atau adakah undang-undang yang telah dimansuhkan oleh Parlimen boleh dihidupkan semula secara automatik .

“Pada pendapat kami, Mahkamah Rayuan telah bertindak dengan wajar apabila mengembalikan status quo (Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980). Ini kerana apabila mahkamah membatalkan sesuatu statut atau pindaan terhadap sesuatu statut maka peruntukan yang wujud sebelum pindaan dibuat akan dikembalikan secara automatik,” ujar Hakim Mohamad Zabidin.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penghakiman dalam rayuan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah.

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan memutuskan demikian rentetan daripada saman dikemukakan oleh bekas penjawat awam di Kementerian Luar, Aminah Ahmad yang mendakwa mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen telah mengakibatkan keadaan “agak merugikan” kepada beliau berbanding dengan skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah Akta Pelarasan Pencen 1980.

Aminah memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred tersebut. Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata (flat rate) dua peratus kenaikan tahunan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×