PILIHAN raya negeri (PRN) membabitkan enam negeri dilihat penting kerana ia boleh dianggap sebagai satu bentuk referendum ke atas prestasi kerajaan perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang tidak menghasilkan mana-mana pemenang mutlak, khususnya ke atas kerjasama politik antara dua musuh tradisi, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Dari sudut perundangan, keputusan PRN ini tidak akan memberi sebarang impak ke atas kedudukan kerajaan perpaduan kerana ia hanya untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan membentuk kerajaan negeri dan tidak akan mengubah komposisi ahli Parlimen yang menjadi penentu kepada kedudukan kerajaan Pusat.
Walaupun begitu, ini tidak menghalang pihak tertentu daripada membuat cubaan untuk menggunakan PRN sebagai wasilah bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan. Perkara ini malah dinyatakan secara terbuka oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa berucap pada Ijtimak Pilihan Raya Pas Pahang di Kerdau, Pahang, baru-baru ini.
Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, jika Perikatan Nasional (PN) dapat pertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta menawan Selangor dan Negeri Sembilan, insya-Allah kerajaan Pusat akan tergugat dan tidak mustahil akan jatuh. Ia diulangi oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu di Shah Alam, Selangor, iaitu kalau enam negeri ini dimenangi PN, Putrajaya akan goyang dan bakal terbentuk kerajaan Pusat yang baharu.
Walaupun Tuan Ibrahim dan Muhyiddin tidak menyebut bagaimana kaedah pertukaran kerajaan Pusat ini boleh berlaku tetapi umum tahu ia semestinya akan berkait dengan keyakinan parti-parti komponen kerajaan perpaduan ke atas keutuhan kerajaan itu. Jika PN menang di lima atau enam negeri, gambaran diberi ialah PN akan menang dalam PRU16.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Mohd. Yusri Ibrahim juga berkata, keputusan PRN kali ini mempunyai kemungkinan-kemungkinan besar untuk merubah landskap politik tanah air secara keseluruhan kerana sebarang perubahan koalisi keluar masuk parti boleh mengubah kerajaan dan ia tidak bertentangan dengan Akta Lompat Parti.
Secara spesifiknya beliau berkata, jika UMNO menerima pukulan yang agak hebat, ditolak oleh pengundi tegar Melayu Muslim sendiri, barangkali ia akan kembali berdiskusi apakah strategi-strategi terbaik untuk survival politik mereka. Begitu juga DAP, jika pengundi tegar memberi signal penolakan ke atas kerjasamanya dengan UMNO-BN, memaksanya membuat keputusan yang akan merubah situasi, kondisi dan kestabilan politik di Malaysia.
Benar, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor sebelum ini sudah memberikan isyarat supaya tidak lagi berlaku perubahan kerajaan di pertengahan penggal. Sultan Selangor pula bertitah supaya isu berkaitan agama, kaum dan isu sensitif lain tidak dimainkan dalam PRN ini. Sultan Terengganu pula bertitah supaya politik kebencian seperti maki hamun dan caci maki perlu dielak.
DARURAT
Walaupun begitu, pihak pembangkang khususnya PN tidak mempunyai rekod yang baik dalam hubungan mereka dengan raja-raja Melayu. Masih diingat penzahiran rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap sikap kerajaan PN yang tergesa-gesa mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat pada 26 Julai 2021 tanpa ia dibentang dan dibahaskan di Parlimen?
Oleh itu, tiada jaminan kempen dalam PRN ini akan berlangsung secara matang tanpa dilibatkan isu berkaitan agama, kaum dan isu sensitif lain seperti dinasihatkan. Buktinya sudah ada. Syeikh Zainul Asri Mohd. Romli dalam ucapannya semasa Himpunan Kedah Berselawat menyebut semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan musuh Allah.
Menyifatkan saingan dalam PRN sebagai musuh Allah adalah sesuatu yang amat tidak sihat dan tidak bertanggungjawab. Ia adalah usaha membangkitkan emosi dan sentimen rakyat untuk membenci dan menolak kerajaan perpaduan atas dasar kononnya kerajaan perpaduan melakukan perkara-perkara yang tidak selari dengan ajaran Islam malah memusuhi Islam.
Tentu ramai yang akan kepeningan dengan dakwaan ini kerana baru 17 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele di Kodiang mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM8.9 juta bagi membantu institusi-institusi pendidikan Islam di Kedah.
Jelas, walaupun isu-isu agama dan kaum dilarang daripada disuarakan sebagai bahan kempen tetapi dalam dunia teknologi maklumat (IT), tiada jaminan untuk ia tidak terus digunakan. Malah besar kemungkinan PRN ini akan lebih banyak ditentukan oleh permainan sentimen kaum dan agama melalui ceramah serta media sosial popular seperti TikTok atau kempen tertutup.
Oleh itu, tindakan keras perlu diambil kepada mana-mana pihak yang masih memainkan isu berkaitan agama, kaum dan isu sensitif lain sebagai modal kempen mereka. Ini penting bagi memberikan mesej jelas bahawa kerajaan tidak bertolak-ansur dengan perkara-perkara sebegini selaras undang-undang dan titah raja-Raja Melayu.
Pada masa sama, walaupun telah banyak dilaksanakan mahupun dirancang untuk dilakukan kerajaan perpaduan dari sudut tadbir urus dan banyak pula kelemahan kerajaan negeri dikuasai pembangkang, fokus utama dalam PRN ini sepatutnya diberi untuk menunjukkan kerajaan perpaduan tetap mengutamakan orang Melayu dan agama Islam.
Apa yang penting, cakap-cakap bahawa keputusan PRN akan mengubah kerajaan Pusat tidak harus dibiarkan terus dilagukan. Impaknya tidak baik kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara. – UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).











