PASIR SALAK: Sebuah madrasah swasta di Kampung Belt, Chenderong dekat sini kosong tanpa pelajar yang mendaftar untuk sesi tahun ini.
Ibn Hazm Edinbry Ismail, 32, yang menjaga Madrasah Ibn Hazm, Kampung Belt, Chenderong Balai iaitu madrasah swasta yang diasaskan oleh arwah bapanya kira-kira 10 tahun lalu berkata, madrasah itu tidak lagi mempunyai pelajar terutama selepas wabak Covid-19 melanda.
Katanya, sebelum Covid-19, madrasah itu mempunyai ramai pelajar yang belajar agama dari tahfiz hingga fardu ain, tasawuf, kitab dan tafsir serta hadis.
“Selepas Covid-19, tiada pelajar yang mendaftar di madrasah ini, namun saya berazam teruskan amanat bapa agar madrasah ini beroperasi. Itu yang saya dan adik-beradik buat di madrasah ini.
“Walaupun madrasah ini sekarang tiada pelajar, saya terus berada di sini. Saya juga tidak rasa putus asa dengan keadaan itu kerana ada cara lain untuk menyebarkan agama.
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keinginan pelajar untuk terus belajar agama nampaknya sudah tak ada, ibu bapa juga sudah kurang bermotivasi untuk menghantar anak mereka belajar di madrasah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang tenaga pengajar di madrasah itu, Shukor Ghani berkata, pihaknya ada mengiklankan pengambilan pelajar sejak setahun lalu namun belum ada yang mendaftar.
Dia mengakui keadaan di madrasah itu termasuk asrama, surau, bahagian dapur dan tempat mandi agak kurang teratur dan banyak kerja baik pulih perlu dilakukan untuk menampung keperluan pelajar.
“Untuk menerima kemasukan pelajar, kami kena buat persiapan lengkap untuk memberi keyakinan kepada mereka. Ibu dan bapa datang nak tengok keadaan madrasah ini.
“Jadi kami yang ada sikit-sikit modal kami buat baik pulih sedikit demi sedikit. Kalau ada yang nak bantu, boleh hulurkan sumbangan kerana kami mahu teruskan niat untuk membuka madrasah ini,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap) menzahirkan rasa bimbang terhadap maahad tahfiz swasta di negeri ini yang mengalami kekurangan pelajar yang serius berikutan keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya selepas wabak Covid-19. – UTUSAN










