Sampai bila nak biar perairan negara diceroboh?

Sampai bila nak biar perairan negara diceroboh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENCEROBOHAN sempadan perairan di Laut China Selatan menjadi isu hangat yang berlarutan sejak sekian lama tetapi terus berlaku hingga sekarang. Pencerobohan ini pastinya bukan kesilapan yang tidak disengajakan tetapi mungkin perancangan tersusun kerana berlaku terlalu kerap.

Sebagai contoh, mengikut Laporan Audit Negara, insiden pencerobohan China ke atas sempadan perairan negara di Laut China Selatan berlaku 89 kali dari 2016 sehingga 2019 manakala laporan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kira-kira 23 kali pencerobohan sama berlaku sepanjang 2021.

Beberapa pemimpin politik dari Sabah khususnya sentiasa bersuara lantang memperkatakannya. Sepanjang 2022 sahaja yang berbuat demikian ialah Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh dan ADUN Bongawan, Dr. Daud Yusuf.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih awal dari itu, pada 3 Oktober 2021, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana negara dari segi kedaulatan sekiranya terdapat ancaman di Laut China Selatan dan perkara itu pernah dibangkitkannya dalam perjumpaan bersama wakil-wakil negara dan forum antarabangsa.

Pada 4 Oktober 2021, Kementerian Luar Negeri di bawah Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika itu mengeluarkan kenyataan telah memanggil Duta Besar China untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China termasuk kapal penyelidikan di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu menyebut, Malaysia konsisten dengan pendirian mempertahankan hak kedaulatan perairan negara dan membantah pencerobohan kapal-kapal asing kerana keberadaan dan aktiviti bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Apa lagi bila sempadan maritim China yang dikatakan berada dalam kawasan nine-dashed-lines merentang ke bahagian utara wilayah Kepulauan Natuna seperti digarap oleh China berasaskan dakwaan historic rights sebenarnya tidak sah dan bertentangan dengan UNCLOS 1982.

Sejak kerajaan perpaduan terbentuk pada akhir 2022, isu ini tidak begitu mendapat perhatian. Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikecam sesetengah pihak kerana didakwa tidak menunjukkan ketegasan ke atas hak kedaulatan perairan negara dengan menyatakan kesediaan untuk berunding dengan China sehubungan tuntutannya di Laut China Selatan.

Pada 23 Februari lalu, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) menyarankan di Dewan Rakyat supaya kerajaan mempertingkat aspek keselamatan di Laut China Selatan bagi mengelakkan pencerobohan pihak luar termasuk China.

Saranan ini dijawab oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin bahawa walaupun terdapat laporan pencerobohan tentera China di perairan negara di Laut China Selatan, semua pihak perlu mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelak sebarang tindakan yang menyebabkan insiden tidak diingini.

ASEAN

Lebih mutakhir, perkara sama ditimbulkan oleh Senator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah di Dewan Negara pada 21 Jun. Ia dijawab oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari bahawa Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan sempadan negara dan akan menggunakan kerjasama pelbagai hala melalui ASEAN, subrantau dan dua hala untuk menanganinya.

Begitupun, di saat Adly memberi jaminan ini, media sosial sebenarnya dipenuhi pendedahan pencerobohan kapal China bernama Haiyang Dizhi 8 yang diiringi tiga kapal tentera dan China Coast Guard 5202 di ZEE Malaysia awal pagi itu. Kapal-kapal ini dikatakan dilengkapi dengan alatan penyelidikan dan pemancar sistem pengecaman automatik (AIS).

Maklum balas TLDM adalah dengan menghantar kapal auksiliari Bunga Mas 5 yang berpangkalan di luar Kota Kinabalu tetapi ini tidak menghalang kapal China daripada membuat operasi penyelidikannya. Ada catatan menyebut, bentuk gerakan kapal itu sebelum memasuki EEZ Malaysia menunjukkan seolah-olah ia menggunakan atau menjatuhkan sesuatu untuk melakukan penyelidikan laut dalam.

Sesungguhnya Beijing perlu menoktahkan serta-merta pencerobohan sempadan perairan negara di Laut China Selatan kerana ia merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab yang menjejaskan hak kedaulatan Malaysia. Kerajaan China tidak boleh menyalahgunakan kekuatan ketenteraannya dan hubungan baiknya dengan Malaysia untuk menceroboh sesuka hati.

Di pihak Malaysia pula, Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan sepatutnya bersikap lebih tegas dengan insiden pencerobohan sebegini. Jawapan ke atas soalan-soalan membabitkan isu hak kedaulatan negara di Parlimen sepatutnya dijawab oleh Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan sendiri, bukan oleh timbalan mereka bagi menunjukkan keseriusan kerajaan.

Kita boleh menerima penjelasan Perdana Menteri di Parlimen pada 4 April lalu bahawa rujukan kepada ‘rundingan’ bermaksud sebarang isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibincangkan atau diselesaikan secara aman. Pada masa sama, sementara perbincangan atau penyelesaian ini tercapai, penegasan perlu dibuat bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku.

Perkara paling minimum yang perlu dilakukan oleh kerajaan perpaduan ialah dengan membuat kenyataan terbuka membantah pencerobohan tersebut, membuat nota bantahan kepada kerajaan China melalui kedutaannya di Malaysia atau memanggil Duta Besar China untuk menyatakan pendirian dan bantahan Malaysia ke atasnya serta meminta jaminan perkara ini tidak akan berulang.

Pada masa sama, kerajaan perpaduan perlu segera mempertingkatkan aset dan personel agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bagi mendatangkan lebih hormat dan kegerunan pihak luar untuk menceroboh.

Hanya dengan menunjukkan kesungguhan begini barulah komitmen kerajaan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah Profesor Madya di Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×