PM: Anak muda jangan dikuasai pemikiran lapuk - Utusan Malaysia

PM: Anak muda jangan dikuasai pemikiran lapuk

Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran Rakan Muda di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi semalam. – utusan/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Perdana Menteri mahu anak muda diberi hak serta kebebasan untuk mengangkat idealisme bersesuaian dan tidak terikat dengan kepimpinan hipokrit yang memecah-belahkan rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya di majlis pelancaran Rakan Muda, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anak muda tidak perlu dikongkong dengan pemikiran bersifat lapuk.

“Ingat, sebagai bapak, ini adalah pesanan saya yang serius. Siapa yang akan menentukan masa depan? Bolehkah anda buat keputusan dan mengesahkan bahawa anda mahukan Malaysia yang bersatu padu?

“Saya lega kerana saya dengar sendiri suara, semangat dan idea­lisme anak-anak muda? Kerana rakan muda ini adalah program memberi ruang untuk memilih.

“Namun, kerangka besarnya persiapan suatu generasi mempunyai cita-cita murni, nilai insan, menghormati satu sama lain. Anak muda yang senang dengan kebaikan, kemajuan, tekonologi baru, muzik dan hiphop tetapi benci dengan ra­suah, hipokrit, salah guna kuasa dan menghina kaum lain. Ini gesaan Pakcik Anwar petang ini,” kata beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalanya, Adam Adli Abdul Halim.
Menurut Anwar, anak muda perlu berpegang pada pemikiran baharu iaitu mengangkat nilai persaudaraan antara kaum yang wujud dalam negara ini.

“Mendepani masalah anak muda ini bukan sekadar beri nasihat atau teguran kerana anak muda juga lemas dengan leteran dengan orang tua.

“Orang muda mahu kementerian dan kerajaan beri ruang untuk memperkenal program baharu dan bagaimana mahu menambah nafas baharu.

“Ini pendekatan Malaysia Madani sekarang. Kita tidak mahu pemikiran lapuk atau terkongkong yang jumud dan kita juga tidak mahu ada unsur-unsur yang memecah-belahkan kita. Kita adalah saudara. Baik keturunan Melayu atau Cina atau India atau Dayak atau Kadazan,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×