Sokong calon Melayu tanpa mengira parti - Putra

Sokong calon Melayu tanpa mengira parti – Putra

MOHD. Kalid Yunus berucap pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Agung Pergerakan Wira, Wiranita, dan Wirawati PUTRA DI Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa seluruh ahlinya mengundi calon Melayu tanpa mengira logo parti di enam pilihan raya negeri (PRN), tidak lama lagi.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Mohd. Khalid Yunus berkata, calon-calon yang memperjuang nasib Melayu perlu diberi sokongan supaya dapat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Kata beliau, sokongan tersebut bagi memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu dapat diwujudkan sekali gus memastikan kepentingan bangsa dan agama Islam sentiasa terpelihara.

“Sama ada Putra bertanding atau tidak di PRN nanti, jangan baca. Sekarang ni kita tidak perlu kisah calon parti politik mana, ketepikan soal itu tetapi lihat calon tersebut adalah Melayu kerana ini untuk perpaduan dan kepentingan bangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan PRN serentak selepas hampir semua enam negeri mengumumkan tarikh pembubaran DUN di semua enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan membabitkan kos perbelanjaan sebanyak RM420 juta.

PRN kali ini bakal membabitkan 9,781,416 pengundi yang berdaftar dan seramai 1,416,903 pengundi muda iaitu berumur 18 hingga 20 tahun akan turut sama menentukan nasib negeri pada lima tahun kehadapan.

Mohd. Khalid yang juga bekas Timbalan Menteri Penerangan itu berkata, keadaan orang Melayu ketika ini diibaratkan seperti pepatah ‘bagai telur di hujung tanduk’.

“Sekiranya orang Melayu tidak bertindak sekarang, maknanya tidak bersatu jadi akhirnya keesokan hari bangsa kita juga akan rugi. Macam sekarang pun sudah nampak gambaran keadaan tersebut.

“Terutama sekali dalam agihan ekonomi, kita tahu ekonomi Melayu dengan bangsa lain sekarang tidak seimbang. Kita tidak cemburu, cuma memperjuangkan supaya Melayu dapat hak ekonomi yang lebih munasabah bukannya nak kaya raya.

“Sekiranya orang Melayu mahukan agihan ‘kek’ ekonomi tu lebih baik, bangsa kita kena kerja kuat dan bersatu. Macam orang Cina mereka kerja kuat serta bersatu, mereka tidak kacau kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×