Dialek Cina di negara ini bakal pupus? - Utusan Malaysia

Dialek Cina di negara ini bakal pupus?

DIALEK Hainanese banyak dipertuturkan di Pulau Ketam, Selangor. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT pelbagai jenis dialek Cina yang tersebar luas di seluruh negara. Namun, lima dialek utama digunakan di negara kita termasuklah Hokkien, Kantonis, Hakka, Teochew dan Hainanese.

Dialek Hokkien banyak dipertuturkan di Pulau Pinang, Klang dan Segamat. Kantonis pula banyak digunakan di Ipoh, Lembah Klang dan Mersing. Kawasan tumpuan penggunaan dialek Hakka termasuklah Selangor, Kluang, Sabah dan Sarawak.

Dialek Teochew pula luas dipertuturkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Johor Bahru; barat laut Selangor dan sesetengah bahagian di Kedah. Hainanese banyak dipertuturkan di Johor, Pulau Ketam di Selangor dan Kemaman di Terengganu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sesungguhnya, kemakmuran dialek Cina di negara kita berlaku menjelang akhir abad ke-18 hingga akhir abad ke-19. Pada masa itu, ramai rakyat China berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki baharu.

Kebanyakan peneroka baharu itu adalah pekerja kontrak dari wilayah berlainan. Apabila sampai ke Tanah Melayu, dialek pertuturan di kampung halaman masing-masing terus digunakan di sini.

Ketika itu, para peneroka berasal dari wilayah yang sama cenderung menetap bersama setelah berhijrah ke sini. Mereka menjalankan aktiviti ekonomi seperti perladangan atau perlombongan milikan tauke puak sendiri. Lama-kelamaan, terbentuklah penempatan puak tertentu yang mengutamakan dialek sendiri.

Sebelum awal abad ke-20, sekolah-sekolah yang didirikan oleh komuniti peneroka menggunakan dialek masing-masing untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada generasi muda. Masuk abad ke-20, disebabkan kebangkitan gerakan nasionalisme di tanah besar China, putonghua atau bahasa Cina mula menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah baik di China mahupun di seberang laut.

Namun, disebabkan ketidakupayaan generasi tua menguasai bahasa Cina secara cepat dan mahir, maka di luar sekolah, kebanyakan kaum Cina di Malaysia masih bertutur dalam dialek masing-masing. Misalnya, di Kuala Lumpur dan Ipoh, oleh kerana dominasi puak Guangdong, maka Kantonis secara automatik menjadi dialek utama di bandar-bandar tersebut.

Konklusinya, tumpuan penggunaan sesuatu dialek di sesuatu tempat banyak bergantung kepada puak yang menjadi dominan dalam komuniti tersebut. Jika bilangan penutur sesuatu dialek itu lebih ramai atau kuasa ekonomi dan politiknya lebih kuat, maka semua orang akan turut menggunakan dialek tersebut.

Sebelum 1970, disebabkan hampir semua keluarga kaum Cina di Malaysia masih mempunyai generasi pertama yang berhijrah dari China, maka dialek Cina muncul sebagai ejen perantaraan utama di rumah.

Datuk dan nenek hanya mampu berinteraksi dengan anak dan cucu mereka dalam dialek sendiri, maka generasi muda berpeluang untuk menguasai dialek melalui pergaulan atau kehidupan bersama.

Malangnya, usaha untuk mengekalkan dialek Cina tidak bertahan lama. Berikutan generasi tua beransur-ansur meninggal dunia dan sekolah-sekolah mengutamakan pengajaran dalam bahasa Cina, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kebanyakan ibu bapa moden memilih untuk bertutur bahasa Cina dengan anak-anak di rumah kerana mereka berasa lebih selesa.

CINA PERANAKAN

Tambahan lagi, bahasa Cina muncul sebagai bahasa perantaraan yang penting bagi semua orang Cina berlainan puak di tempat kerja dan tempat bersosial di seluruh negara. Maka, dialek Cina hanya digunakan apabila sesuatu puak berinteraksi sesama sendiri.

Perkembangan ekonomi menyebabkan banyak generasi baharu berpindah ke bandar untuk menerima pendidikan tinggi atau mencari nafkah hidup. Mereka turut mendirikan rumah tangga di bandar dan tidak lagi tinggal bersama ibu bapa di kampung halaman.

Jadi, generasi ketiga tidak berpeluang untuk bertutur menggunakan dialek kerana tiada lagi orang tua di samping mereka. Tambahan lagi, perkahwinan merentasi puak menjadikan bahasa Cina dipilih sebagai medium komunikasi di rumah.

Bagi saya, peranan dialek masih penting kerana ia membantu puak mengekalkan identiti masing-masing. Dialek adalah bahasa akar bagi setiap puak. Dialek dapat menonjolkan ciri-ciri keunikan dan jiwa sesuatu puak.

Dari tinjauan saya, masyarakat Cina amat menitikberatkan warisan budaya nenek moyang dan sentiasa menelusuri kembali asal usul mereka. Sebagai contoh, Cina Peranakan di Kelantan masih mempertahankan dialek Hokkien walaupun dialek dipertuturkan sudah bercampur aduk dengan kosa kata Siam disebabkan faktor pembudayaan.

Sesungguhnya, masyarakat Cina berasa sedap hati dan lebih mesra apabila dapat bertutur dialek sesama puak sendiri. Bahkan, penguasaan dialek juga memudahkan seseorang meraih kepercayaan dan sokongan daripada puak sendiri baik dalam kerjasama perniagaan mahupun politik.

Saya berpendapat persatuan-persatuan dialek mungkin boleh memainkan peranan dalam mempromosikan pembelajaran dan penggunaan dialek Cina. Generasi muda boleh diberi pendedahan kepada dialek Cina melalui aktiviti-aktiviti anjuran persatuan.

Pengalaman saya boleh dijadikan sebagai contoh. Ibu bapa saya menganggotai persatuan Hokkien di Kampung Tengah, Segamat sejak saya masih kecil. Bapa sering membawa saya menyertai aktiviti persatuan seperti Pesta Hantu Lapar (Yulan).

Di sana, saya berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti yang dikendalikan dalam dialek Hokkien. Secara tidak langsung, saya berkesempatan untuk menghayati nilai hidup dan warisan budaya puak Hokkien melalui aktiviti persatuan.

Dalam bidang kesenian, budayawan dan seniman juga digalakkan menghasilkan filem, drama, nyanyian dan sebagainya dalam dialek Cina. Contohnya, You Mean the World to Me merupakan filem pertama yang menggunakan bahasa Hokkien loghat Pulau Pinang sebagai bahasa pengantar. Seorang penyanyi bernama Mai Ying pula mengelolakan rancangan beliau di saluran YouTube dengan lagu Hainanese.

Dari aspek kajian sosiolinguistik, sesetengah dialek Cina mungkin menghadapi risiko kepupusan kerana kadar kelahiran, modenisasi, urbanisasi dan globalisasi. Makin kecil sesuatu puak, makin tinggi kemungkinan dialek puak itu akan pupus.

Bagaimanapun, pengekalan dialek banyak bergantung kepada keazaman kaum Cina sendiri untuk mewujudkan peluang mengakses dan menggunakannya secara meluas. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×