BUKAN sekali dua ungkapan ‘kita akan berusaha mengembalikan kegemilangan Malaysia’ dipertuturkan oleh pihak-pihak tertentu. Malah ungkapan begitu kerap didengar. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyebut lagi ungkapan demikian pada sesi Temu Anwar di kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, baru-baru ini.
Dilaungnya kata-kata itu dengan penuh bersemangat sambil mendapat teriakan gemuruh dan tepukan tangan, menggegar Dewan Tuanku Canselor tanda sokongan daripada pelajar-pelajar serta para hadirin.
Syukurlah, jika itu merupakan manifestasi sokongan padu rakyat, termasuk anak-anak muda di pusat-pusat pengajian tinggi terhadap usaha membawa negara ini kembali maju membangun serta makmur stabil seperti pernah dilalui sebelum ini.
Semacam ada suatu penanda aras bahawa pada suatu tempoh tertentu sebelum ini, Malaysia berada di zaman yang dianggap gemilang. Ini merupakan suatu pengiktirafan jelas dan menarik. Sebenarnya, banyak sudut yang boleh ditafsirkan. Gemilang mungkin disandar maknanya pada suasana politik yang sebelum ini tidak sekalut sekarang.
Dahulu, segala pendekatan berasaskan pemuafakatan atau konsensus, dengan semangat sedia menerima dan saling menghormati. Ini baik dalam kalangan dalaman parti, mahupun di antara parti berbeza jenama.
Yang jelas, pendekatan sebelum ini lebih bercorak ‘sederhana’. Misalnya, tidak ada ancaman atau ugutan menjatuhkan kerajaan. Barangkali disebabkan gabungan parti politik yang mendapat mandat memerintah negara waktu itu mendapat sokongan majoriti besar daripada rakyat.
Yang menang dapat meneruskan agenda membangunkan negara tanpa terencat atau terganggu, manakala pihak yang kalah tidak berusaha menjelajah ke sana ke mari untuk mengumpulkan gabungan bagi menggugat kerajaan.
Kesederhanaan juga terserlah dalam tutur bicara. Kecaman politik terhadap lawan tidak sampai ke tahap mencaci maki, menyerang peribadi atau menzahirkan pertelagahan terbuka secara keterlaluan.
Pun tidak ada pihak yang tergamak mengganggu kedaulatan raja-raja Melayu, cuba mencetus provokasi terhadap isu-isu membabitkan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan diterima dan dihormati.
Tempo perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara ketika itu lebih terarah atau berorientasikan bagi ‘mengisi kemerdekaan.’ Pendekatan yang digunakan bercorak inklusif.
Seluruh rakyat mendapat hak layanan kebajikan yang adil saksama tanpa mengira agama atau kaum berpandukan struktur kenegaraan yang ada. Tidak timbul kecurigaan atau permintaan (demand) yang berlebih-lebihan untuk mana-mana kelompok kaum atau sempadan daerah.
Secara umumnya, empat paksi ini menjadikan Malaysia gemilang. Persoalannya, sudah tidak wujud lagikah ciri-ciri ini dalam kehidupan sekarang? Mereka yang melalui zaman itu pasti dapat memberi jawapan yang jelas.
Mereka juga mungkin dapat membezakan corak kehidupan masyarakat ketika itu barangkali lebih beralas budi dan jati diri serta mengutamakan budaya murni penuh mesra. Sesuai pula dengan semangat yang terkandung dalam lima prinsip Rukun Negara.
MANTAP, KEMAS, PADU
Rakyat Malaysia ternyata pernah melalui zaman di mana suasana politik, sosial dan ekonomi yang selesa dan melegakan. Jika tidak, kenapa ungkapan ‘kembali ke zaman gemilang’ kerap berulang?
Gemilang mungkin diukur pada aspek perbezaan kos sara hidup yang murah berbanding sekarang? Peluang pekerjaan ketika itu lebih terbuka? Atau gemilang diukur pada suasana perpaduan rakyat zaman sebelum ini lebih harmonis?
Apa pun, beza yang ketara ialah tentang suasana politik. Negara pernah melalui zaman gemilang dengan suasana politik yang stabil. Apa salahnya kalau dikaitan hal demikian dengan prestasi parti politik yang mendominasi pemerintahan negara zaman itu yang dianggap mantap, kemas dan padu. Perjalanan tadbir urus negara berjalan lancar.
Malaysia pernah melalui zaman gemilang dengan menyerlahkan imej menarik di mata dunia. Kestabilan politik mudah menggamit kemasukan pelaburan asing. Ramai rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan, selain pertumbuhan ekonomi turut mampan. Di samping itu, suara Malaysia dihormati terutama atas isu-isu keselamatan, keamanan serta kedaulatan Islam sejagat.
Jadi, tidak salah kalau dapat diterima dengan jujur dan hati terbuka apa-apa sudut atau aspek kebaikan masa lampau dipungut semula untuk dijadikan iktibar dan pengajaran bagi menepati slogan Ayuh bangkit!
Kembalikan kegemilangan Malaysia! Mana yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dipastikan tidak berulang. Langkah terbaik ialah mensyukuri nikmat yang ada, sambil mengurus segala sumber dengan sebaiknya.
Terjemahkan cita rasa sebenar kehidupan. Jika maju damai menjadi idaman, tentu sengketa bermusuhan tidak diberi laluan. Jika acuan asal menepati keperluan, usahakan ciri kepalsuan dicampak dibuang. Membohongi kenyataan hanya menyuburkan resah dan kepayahan.
Benar, gemilang bukan bermakna berpandukan kepada kemajuan material semata-mata. Kegemilangan meliputi kerukunan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Meletakkan persefahaman dan perpaduan sebagai keutamaan.
Tanamkan sikap sedia membahu, bekerjasama menggapai kejayaan serta sanggup mendepani cabaran bersama. Bina semangat sayangkan diri, keluarga dan negara. Nikmat kemajuan untuk dirasai semua.
Hidup tidak pernah terlewat memperbaiki kesilapan. Sebaliknya membiar langkahan sumbang adalah ibarat menempah kecelaruan tanpa penyelesaian. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).











