MUKADIMAH
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kembali mencuri tumpuan apabila merampas semula pingat emas acara keirin dan pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2023 yang berlangsung di Velodrom Nilai, minggu lalu.
Kejayaan itu turut mengulangi pencapaiannya pada 2008 apabila muncul juara Asia berganda.
Di sebalik kemampuan membuat kayuhan deras di atas trek, pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman ini juga bijak dari segi akademik dan pernah menyimpan hasrat untuk bergelar doktor perubatan di zaman remajanya.
Bersama wartawan Mingguan Malaysia, ADAM ZAMRI, bekas juara dunia dan pemenang dua pingat Olimpik itu berkongsi sisi peribadinya yang tidak pernah diketahui peminat berbasikal negara.
Apa yang anda suka lakukan di waktu lapang?
Selain berbasikal, saya sukakan aktiviti luar yang mencabar seperti lompatan bungee atau terjunan udara.
Makanan kegemaran anda jika berada di perantauan?
Sebagai anak jati Terengganu, pastinya nasi dagang, dan kalau sebagai rakyat Malaysia, nasi lemak.
Destinasi yang menjadi idaman anda?
Mungkin Switzerland, kerana saya masih belum ada kesempatan ke sana lagi.
Mungkin anda boleh kongsikan perwatakan anda di luar trek?
Saya sebenarnya pemalu orangnya, santai dan kadangkala pendiam. Personaliti saya juga amat berbeza, bila saya dah sarungkan helmet, saya dah bertukar menjadi orang berbeza.
Agaknya apakah karier anda jika hari ini anda tidak bergelar pelumba basikal?
Mungkin saya seorang pelajar.
Cita-cita anda sebelum ini?
Dahulu ketika zaman belajar, saya memang pernah bercita-cita nak belajar perubatan menjadi seorang doktor, malah kursus saya, sains sukan pun ada menyentuh bab perubatan.
Bagaimana ada kecenderungan untuk menjadi doktor?
Saya suka subjek perubatan, dan ilmu yang ada dalam subjek itu, malah walaupun saya tak melanjutkan ke dalam bidang itu, saya tetap belajar mengenai biologi dan anatomi.
Rutin anda jika sebelum masuk ke dalam trek?
Lazimnya sebagai seorang muslim, saya akan melakukan solat hajat sebelum hari pertandingan dan berdoa, dan ketika hari pertandingan saya pun banyak mendengar muzik untuk naikkan semangat.
Jenis-jenis lagu yang anda dengar?
Bergantung kepada perasaan saya ketika itu, ada kala saya dengar lagu klasik, ada kala saya naikkan semangat saya dengar lagu lagu dari Joe Flizzow dan Faizal Tahir.
Pegangan hidup anda?
Saya ada banyak, tetapi yang saya nak kongsikan ini adalah ‘give everything, leave nothing’. Kita bagi usaha kita sepenuhnya ketika sesi latihan, dan jangan tinggalkan apa apa kerana selalunya atlet dia tidak buat bersungguh-sungguh ketika sesi latihan dan kemudian menyesal.














