Pas bimbang PRN pada hari bekerja

Pas bimbang PRN pada hari bekerja

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pas bimbang jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri diadakan pada hari bekerja, bukan hujung minggu.

Ketua Penerangan Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara itu berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai tahun lalu yang diadakan hari Rabu.

Menurutnya, keputusan itu menyebabkan calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim tewas dalam saingan lima penjuru, walaupun pada mulanya kerusi berkenaan dijangka bakal dimenangi gabungan berkenaan.

“Kita berharap SPR melaksanakan PRN pada cuti hujung minggu dan bukannya pada hari biasa seperti yang berlaku pada PRK DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai. Saya tidak menolak kemungkinan kerajaan perpaduan boleh menjadikan perkara itu sebagai strategi untuk menghalang PN.

“Jika ini berlaku sudah tentu ramai pengundi luar tidak dapat pulang ke Kedah, Terengganu dan Kelantan kerana kebetulan mereka baru balik bercuti sempena Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Pas Melaka dan Pelancaran Jentera PRN Bantu di Dewan Muallim, Bukit Katil di sini, hari ini.

Tambah Khairil Nizam, PN kini berada di peringkat akhir penentuan calon-calon yang akan bertanding di kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri.

Menurutnya, setakat ini tiada perselisihan faham dalam kalangan komponen berhubung pembahagian kerusi, yang mana Pas bertanding di 126 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 83 kerusi dan Gerakan 36 kerusi.

Ditanya sama ada terdapat bekas pemimpin UMNO bertanding mewakili PN, beliau berkata, perkara tersebut bakal diumumkan oleh pucuk pimpinan tertinggi tidak lama lagi.

“Berapa ramai yang akan bertanding, itu saya tidak ada maklumat tunggulah kita akan umum secara terbuka tidak lama lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×