Saya sudah bebas daripada DAP – Ronnie Liu - Utusan Malaysia

Saya sudah bebas daripada DAP – Ronnie Liu

RONNIE LIU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun tidak lagi menjadi ahli DAP, namun bekas ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu akan terus menyokong kepimpinan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, beliau akan terus memberi pandangan kepada DAP walaupun bukan lagi ahli parti berkenaan.

“Saya tidak fikir keputusan ini akan menjejaskan apa-apa pada Pilihan Raya Negeri (PRN), sebab saya akan terus membantu kempen pada PRN Selangor.

“Cuma saya sudah bebas dan bukan lagi ahli parti. Tetapi hati saya masih bersama de­ngan Pakatan Harapan,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Ronnie sebelum ini memohon kepada pucuk pimpinan DAP supaya menamatkan keahliannya berkuat kuasa semalam.

Keputusan tersebut, tegas veteran DAP itu, diambil kerana banyak perkara yang di luar jangkaan telah berlaku sepanjang 41 tahun beliau menganggotai parti berkenaan.
Permohonan penamatan keahlian dalam DAP dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor itu dalam surat beliau kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Ditanya adakah beliau mempunyai masalah dalaman antara pimpinan parti, Ronnie bagaimanapun menafikannya.

BERKAWAN

“Tiada masalah, saya masih berkawan dengan pimpinan DAP lain, saya tidak mahu ulas lanjut,” jelasnya.

Sebelum ini, Ronnie pernah membuat kenyataan yang langkah DAP meminda perlembagaan membolehkan mana-mana wakil rakyatnya dipecat kerana tidak menurut perintah kepimpinan disifatkan sebagai tidak demokratik.

Kata Ronnie, parti itu mungkin tidak lagi demokratik dengan pindaan tersebut, yang diluluskan dalam kongres khas parti dengan majoriti besar perwakilan.

Susulan itu, Ronnie menerusi laman sosial Facebooknya sebelum ini pernah menulis ke­nya­taan berhubung ‘Tuhan Selamatkan DAP’ berikutan kekesalannya terhadap tindakan parti itu.

Menge­nai momentum PH-BN di Selangor, Ronnie berkata, gabungan kerjasama politik itu belum mampu menawan tiga negeri bukan di bawah pimpinannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bagaimanapun, jelasnya, tiga negeri lagi di bawah PH dijangka kekal di bawah pentadbiran sama.

“Apa yang kita menang, masih menang, apa belum menang, kita masih tidak boleh menang. Maksudnya status quo.

“Untuk di Selangor, saya lihat tidak ramai juga yang sokong PN (Perikatan Nasional). Program mereka pun tidak dihadiri orang ramai. Ini pemerhatian saya sendiri. Jadi PH-BN masih ada peluang untuk menang,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×