KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah memerintah beliau membayar RM10 juta kepada PKR.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Parlimen Ampang itu berkata, keputusan tersebut tidak adil dan tiada justifikasi ke atas bayaran yang ditetapkan.
“Saya akan ke Mahkamah Rayuan kerana keputusan tidak adil. Tiada justifikasi ke atas bayaran RM10 juta itu,” kata beliau menerusi WhatsApp semalam.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR kerana berpaling tadah daripada parti itu selepas menang kerusi Parlimen Ampang buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Peguam PKR Navpreet Singh mengesahkan keputusan yang disampaikan oleh hakim Akhtar Tahir semasa prosiding dalam talian.
Kemelut tuntutan tersebut susulan Langkah Sheraton apabila Zuraida bersama 11 ahli parlimen lain diketuai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggalkan PKR pada Februari 2020 untuk menyokong Bersatu, UMNO-BN dan GPS dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu di mahkamah, Datuk Akhtar berkata, bekas Naib Presiden PKR itu sedar dan sukarela menandatangani bon RM10 juta ketika ingin menjadi calon parti itu pada PRU14.
“Alasan defendan (Zuraida) bahawa beliau menandatangani bon tersebut dalam keadaan tertekan atau terpaksa adalah tidak berasas kerana bukti menunjukkan bahawa defendan (Zuraida) mempunyai pengetahuan penuh mengenai isi kandungan bon tersebut.
“Defendan juga tidak boleh menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai kandungan bon berkenaan sedangkan beliau juga terlibat dalam keputusan plaintif (PKR) yang mana calon yang terpilih mewakili parti pada PRU-14 perlu menandatangani bon itu,” kata Hakim Akhtar sebelum memerintah Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR.
Mahkamah turut memerintahkan Zuraida membayar kos sebanyak RM50,000. – UTUSAN











