PETALING JAYA: Malaysia merekodkan lebihan dagangan ke-37 bulan berturut-turut pada Mei 2023 dengan pertumbuhan dua digit 21.4 peratus kepada RM15.42 bilion.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sejajar dengan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah, jumlah perdagangan negara susut 2 peratus kepada RM223.8 bilion pada tempoh berkenaan.
Katanya, eksport menunjukkan tanda pemulihan dengan mencatatkan pengurangan marginal sebanyak 0.7 peratus kepada RM119.61 bilion berbanding penyusutan dua digit yang direkodkan bulan sebelumnya. Import pula menurun 3.3 peratus kepada RM104.19 bilion.
Prestasi perdagangan ini seiring dengan negara serantau lain yang turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan negatif seperti China, Taiwan dan Republik Korea (ROK).
“Meskipun mencatatkan penyusutan, eksport ke rakan dagang utama khasnya China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun merekodkan peningkatan. Sementara itu, kenaikan eksport turut dicatatkan bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik
(E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses.
“Berbanding April 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit 13.2 peatus, 13.7 peatus, 12.6 peatus dan 22.1 peratus,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










