ADA pandangan yang menyatakan Perikatan Nasional (PN) dijangka meraih majoriti dua pertiga di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). Hujah yang diberikan ialah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru sahaja diadakan beberapa bulan lalu dan sentimen pengundi di ketiga-tiga negeri ketika ini masih lagi memihak kepada PN.
Berdasarkan pengamatan dan kajian lapangan, pandangan ini bagaimanapun agak tersasar daripada realiti sebenar yang ada di bawah.
Pertama sekali, perlu diingati bahawa kemenangan 74 calon PN dalam PRU15 adalah sesuatu yang luar biasa, ia bukanlah kerana kekuatan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Malah ada calon PN yang menang dalam PRU15 terkejut kerana tidak menyangka boleh menang besar.
Ia berlaku kerana sentimen ke atas sesuatu dan sifat sentimen ini tidak akan bertahan lama. Sentimen utama dalam PRU15 ialah kemarahan pihak-pihak tertentu kerana pengguguran beberapa nama besar sebagai calon UMNO/Barisan Nasional (BN).
Di Perlis, nama Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Wilayah Persekutuan digugurkan. Di Kelantan, nama Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia tiada. Di Selangor, nama Tan Sri Noh Omar selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tercicir.
Sebab itu kita dapat melihat di tempat-tempat yang nama-nama besar UMNO/BN ini sokongan ke atas calon-calon baru parti itu terjejas menyebabkan sebahagian besar daripada mereka kalah.
Sekarang ini heboh pula diperkatakan bahawa beberapa warlord UMNO/BN yang terpinggir akan menyertai PN, bermula dengan Annuar, tetapi impak sebenarnya tidak seberapa kerana kemarahan adalah pada waktu itu dan keadaan sudah agak tenang.
Apa yang lebih penting ialah di Kedah dan Terengganu pengguguran nama besar UMNO/BN sebagai calon PRU15 tidak berlaku dan jika ada lagi warlord yang akan menyertai PN maka perkara ini tidak akan berlaku di kedua-dua negeri ini.
Oleh itu, sesudah suhu kemarahan sebahagian ahli dan penyokong UMNO ini reda maka gelombang arus yang menolak calon-calon UMNO/BN juga sudah semakin hilang. Di Kedah dan Terengganu khususnya masalah di peringkat UMNO Negeri dan Bahagian hampir tiada.
Shahidan sendiri ketika bercakap kepada pemberita di sidang akhbar di Hotel Furama, Kuala Lumpur, kelmarin mengakui “(pada PRU15) PN menang bukan kerana Pas atau Bersatu tetapi rakyat sokong kami, kita menang undi dengan izin Allah luar biasa”.
Sesuatu yang bersifat luar biasa ini tidak kekal lama. Tempoh setengah tahun adalah tempoh yang lama dalam dunia politik. Tiada siapa yang menyangka UMNO/BN yang menang mutlak dalam PRN Melaka dan Johor boleh tewas teruk dalam PRU15 disebabkan perubahan masa.
Sejak PRU15 dapat dilihat kesepaduan antara Pas dan Bersatu semakin longgar. Kerjasama mereka dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah ditolak oleh rakyat dalam PRU15, serta yang sebelum ini saling mengecam satu sama lain, tambah mencelarukan keadaan.
BN-PH sebenarnya ada peluang untuk merampas kembali kerajaan negeri di Kedah dan Terengganu.
Selain UMNO/BN tiada masalah perpecahan dalaman di kedua-dua negeri itu, faktor yang lebih besar lagi ialah kerana rekod menunjukkan penduduk Kedah dan Terengganu sentiasa menunjukkan kemampuan untuk membuat ayunan politik (political swing).
Berbanding di Kelantan yang menyaksikan rakyatnya sentiasa mengekalkan pemerintahan Pas sejak 1990 sementara di Kedah dan Terengganu tidak begitu.
Di Terengganu, dalam PRU10 pada 1999 Pas memenangi 28 kerusi dan UMNO hanya meraih empat kerusi. Bagaimanapun, dalam PRU11 pada 2004 keadaan bertukar dengan UMNO memenangi 28 kerusi dan Pas hanya meraih empat kerusi.
Di Kedah pula, dalam PRU12 pada 2008 Pas memenangi 16 kerusi dan membentuk kerajaan bersama-sama PKR dan DAP yang menang lima dan satu kerusi berbanding 14 kerusi UMNO/BN. Bagaimanapun, dalam PRU13 pada 2013 keadaan bertukar dengan UMNO memenangi 21 kerusi berbanding Pas yang hanya meraih sembilan kerusi, PKR (empat) dan DAP (dua).
Kedua-duanya berpunca daripada perkara yang sama iaitu kerana pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pas dilihat lemah, tidak efisien dan tiada perancangan di samping pergolakan dalaman yang berlaku.
Dalam PRU14, kerusi yang dimenangi Pas di Terengganu dan di Kedah tidaklah besar. Di Terengganu, Pas menang 22 kerusi manakala UMNO/BN 10 kerusi. Di Kedah lagi teruk bila Pas hanya menang 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Berbanding di Kelantan yang rakyatnya telah tertanam budaya menyokong Pas walau apa pun masalah dalam kerajaan negeri itu, budaya begini tidak ada di Terengganu dan di Kedah menyebabkan kelemahan pentadbiran di kedua-dua negeri ini akan mendorong kepada pertukaran kerajaan.
Tambahan pula kedua-dua Menteri Besar Pas di Terengganu dan Kedah bukan daripada golongan ulamak, tidak seperti di Kelantan, dan diketahui bahawa ada suara di dalam parti Islam itu yang mahu ulamak menjadi Menteri Besar di kedua-dua negeri berkenaan. Tambahan pula bila kedua-dua Menteri Besar di dua negeri ini tidak dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas Negeri tetapi ulamak yang mengetuainya.
Lebih cerah lagi peluang BN-PH bila Datuk Seri Mahdzir Khalid, seorang tokoh yang berpengalaman, pernah menjadi Menteri Besar Kedah, Menteri Pendidikan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar serta tidak kontroversi diberi tugas mengetuai gerak kerja PRN di Kedah manakala di Terengganu pula bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Said, mendapat kerjasama padu daripada bekas-bekas Menteri Besar lain.
Penambahan pengundi baharu di mana dikatakan golongan muda lebih menyokong PN tidak menjadi satu penanda penting kerana golongan muda ini sifatnya lebih kritis dalam membuat keputusan dan mereka boleh cepat mengubah pendirian berdasarkan situasi semasa.
Penerimaan pengundi Melayu terhadap kerjasama antara PH dan BN juga terbukti semakin meningkat setelah penjelasan dibuat mengenai keperluan kerjasama ini dan betapa kerjasama ini tidak akan memberi impak yang negatif ke atas kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu.-UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM)











