BULAN Pride merupakan satu lagi produk pengembangan ideologi sesat lesbian, gay, biseksual, transgender, dan queer (LGBTQ) yang disambut pada Jun setiap tahun bagi mengingati peristiwa hitam yang dahulunya melibatkan satu rusuhan di Stonewall, New York pada Jun 1969. Rusuhan tersebut terhasil daripada desakan individu-individu serta organisasi luar yang ingin memperjuangkan hak LGBTQ di Amerika Syarikat (AS). Gaya hidup bertuhankan nafsu di Barat ketika itu telah melihatkan peningkatan aktiviti seks luar nikah sebagai satu fenomena budaya berleluasa yang secara langsung menjejaskan struktur masyarakat dan kestabilan unit keluarga.
Dari aspek sejarah perabadan dan antropologi, keluarga menjadi institusi teras dalam semua masyarakat walaupun di dunia Barat moden. Pembiakan manusia melalui hubungan seks sepatutnya terhad kepada mereka yang sah dinikahkan antara satu sama lain tertakluk kepada prinsip agama, undang-undang dan budaya setempat. Gejala hubungan bebas yang menimpa masyarakat di seluruh dunia ketika ini menghalang hak anak yang dilahirkan untuk dilindungi daripada sebarang perkara tidak bermoral termasuk penzinaan dan hubungan seks sejenis. Kini, mereka diancam secara berterusan untuk menerima amalan luar tabii yang boleh merosakkan bukan sahaja kerangka fikir orang awam, namun turut menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal individu akibat pengembangan ideologi jijik itu melalui pendidikan di sekolah awam dan propaganda media massa.
Sudah beratus tahun lamanya tindakan hubungan seksual sesama lelaki oleh kaum Luth digambarkan dalam ayat ke-55, surah an-Naml bermaksud, “Mengapa kamu mendatangi lelaki untuk (memenuhi) nafsumu, bukan (mendatangi) wanita?” bagi menunjukkan bahawa tindakan homoseksual dilakukan secara sedar, suka sama suka dan tanpa ada unsur jenayah melibatkan pemerkosaan.
Sudah menjadi fitrah alam yang menetapkan apabila larangan agama diendahkan, maka pelbagai bala seperti penyebaran penyakit berjangkit akan datang menimpa umat. Buktinya, data daripada pusat kawalan penyakit (CDC) AS pada 2019 menyatakan, 70 peratus daripada jangkitan baharu HIV di negara itu disumbangkan oleh pengamal gay.
Gaya hidup songsang ini juga merupakan penyebab utama jangkitan HIV dan AIDS di 38 negara seluruh dunia meningkat. Rekod perubatan jelas menunjukkan perbuatan liwat oleh pasangan gay melalui seks dubur adalah lebih popular dalam kalangan lelaki muda. Golongan gay berkemungkinan mempunyai empat atau lebih pasangan berbanding lelaki muda yang melakukan hubungan seks dengan wanita, malah mereka lebih berkemungkinan tidak menggunakan kondom semasa melakukan perlakuan sumbang tersebut.
HARI WANITA
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengemukakan bahawa penyumbang utama kes perceraian di Malaysia ialah peningkatan jumlah golongan gay sebanyak hampir 100 peratus, iaitu seramai 310,000 individu pada tahun ini daripada 173,000 orang, lima tahun lalu. Punah harapan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dan menjadikan perkahwinan sebagai jalan penyelesaian untuk menghalalkan perhubungan apabila terbit 1,001 kerisauan dek lambakan kes keruntuhan institusi keluarga.
Perarakan Hari Wanita 2023 yang disambut walaupun di luar bulan Pride tempoh hari memperlihatkan tindakan berani komuniti pro-LGBTQ yang berkelakuan tidak senonoh dengan membawa sepanduk-sepanduk serta bendera berunsurkan LGBTQ di sekitar ibu kota. Perjuangan golongan liberal dan aktivis feminis untuk menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam dan Perlembagaan Persekutuan seperti ini adalah melampau dan tidak beradab sama sekali.
Tingkah laku yang berani mencabar kedaulatan undang-undang negara dapat dilihat dilakukan secara terus menerus apabila syarikat Swatch tegar mempromosikan produk jam tangan mereka dengan reka bentuk dan warna seperti pelangi bagi mengiktiraf dan menerima sambutan bulan Pride. Tindakan pantas Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas ratusan jam tangan yang mempunyai huruf ‘LGBTQ’ pada permukaan jam tersebut harus diberi pujian.
Belum dibuka cerita lagi berkenaan penularan dan normalisasi LGBTQ secara halus menerusi filem-filem dengan pelbagai watak identiti jantina dalam platform penstriman seperti Netflix yang tidak tertakluk pada rangka kerja pelesenan dan tapisan di bawah perundangan sedia ada.
Jauh di benak hati saya terlintas, adakah mereka buta dan tuli terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan bahawa golongan LGBTQ selain konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak diiktiraf dalam kerajaan perpaduan? Semua penyakit termasuk buta dan tuli boleh diubati, kecuali mati. Oleh itu, selagi mana dasar kerajaan tidak agresif dan tegas dalam memboikot kelompok ini secara total termasuk kepada proksi-proksi mereka sama ada melalui jalur pertubuhan bukan kerajaan serta syarikat komersial, selagi itu mana-mana unit keluarga yang sudah sedia dan bakal bertapak di Malaysia dianggap tidak selamat.
Imam al-Ghazali pernah menyebut satu pesanan khas buat para ibu bapa, “Kanak-kanak itu adalah amanah bagi ibu bapanya. Hati nuraninya bersih bak permata yang bernilai. Jika dibiasakan dengan kebaikan dan diajar, nescaya dia besar dan bahagia di dunia dan akhirat. Sebaliknya jika dibiasakan dengan kejahatan serta diabaikan seperti pengabaian binatang ternakan, nescaya dia akan binasa dan celaka. Justeru, hendaklah anak itu dipelihara dengan mendidiknya dan mengajarnya nilai-nilai akhlak sedari kecil lagi.”-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Pengarah Komunikasi Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










