DIA sudah bertaraf legenda hidup, tidak perlu diperkenalkan. Malah, tidak keterlaluan jika diangkat sebagai Raja Hip Hop kebanggaan tanah air sementelah begitu banyak kejayaan yang telah diukir olehnya, secara tidak langsung membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.
Demikianlah keistimewaan Johan Ishak, 41, atau Joe Flizzow yang menjadikannya dipandang tinggi pada ketika ini sebagai individu berpengaruh kuat dalam industri muzik hip hop.
Jika diukur pada prolifik kerjayanya, boleh sahaja dia mendongak sombong, mendakap eksklusiviti tanpa perlu mengambil peduli kelompok junior bawahan yang sedang merangkak mencari tempat dalam industri.
Tetapi, Joe tidak begitu. Malah, dia melahirkan rasa bangga dengan kebangkitan muzik anak tempatan, terutamanya hip hop yang mana baginya mereka ini perlu diberi perhatian dan galakan.
“Suasana dalam industri muzik kita boleh dikatakan membanggakan. Ada ramai bakat baharu, bukan sekadar mewarnai, tetapi mereka ini betul-betul memiliki kelebihan tersendiri.
“Muzik hip hop misalnya, saya secara peribadi sangat lega apabila melihat ramai yang semakin berani muncul dan ke depan dalam arus muzik perdana, menyerlahkan bakat dan karya masing-masing.
“Sebagai contoh kita ada kumpulan K-Clique, Yonniboi dan ramai lagi. Masih saya ingat bagaimana satu ketika dahulu, Yonniboi pernah menghantar mesej peribadi dan meminta saya beri tunjuk ajar,” katanya.
Mendakwa dia tidak pernah melupakan momen itu, kata Joe, Yonniboi adalah antara contoh anak muda yang tidak malu untuk mencari ilmu dan dengan hanya satu tindakan kecil, dia sudah membuka satu lembaran baharu sebagai seorang anak seni yang terkenal kini.
“Jika dia tidak mesej, mungkin saya pun tidak dapat berkongsi ilmu dengan dia. Saya berikan sedikit bimbingan dan anda sendiri boleh lihat, di mana kedudukan Yonniboi kini.
“Saya pernah banyak kali menekankan, pelapis kita sebenarnya ada ramai yang bagus-bagus. Tetapi mereka perlukan bimbingan dan sebagai orang lama, kita tidak wajar kedekut dengan ilmu jika mahu melihat industri punya pelapis yang berkualiti,” katanya.
Pun begitu kata Joe, sebagai artis senior, dia sendiri tidak pernah meletakkan kekangan atau had tertentu untuk sama-sama menimba ilmu daripada mereka yang masih muda atau baharu.
“Adakalanya kita orang lama juga dapat belajar banyak daripada orang muda. Jadi jangan malu atau ego untuk berbuat demikian. Muzik juga sedang berevolusi dengan arus semasa, jadi tidak salah pun jika kita belajar perkara baharu.
“Saya sendiri tak nak letakkan had itu,” katanya.

JANGAN PANDANG RENDAH
Mengubah pertanyaan mengenai pandangannya terhadap senario industri yang dilihat masih kekurangan penyanyi rap wanita, Joe sedar ia cuma satu pandangan yang skeptikal.
Baginya, jika ada yang berpandangan sedemikian, mereka salah kerana sebenarnya ramai sahaja wanita yang boleh menyanyikan lagu rap tetapi masalah lazim tetap berlaku iaitu mereka ini tidak diberikan peluang.
Satu daripadanya, kata Joe, kerana kaum wanita masih dianggap tidak mampu untuk meluaskan pengaruh dalam dunia muzik hip hop kerana wujudnya pandangan tabu.
“Kadang-kadang seakan tidak adil kerana penyanyi rap wanita dianggap tidak sebagus penyanyi rap lelaki. Itu yang wujud dalam minda penonton kita. Walhal, kita ada ramai yang berbakat besar dan berpotensi.
“Contohnya, tengoklah beberapa episod dalam 16 Baris. Beberapa penyanyi rap lelaki dengan mudah sahaja kena ‘tapau’ dengan penyanyi rap wanita. Jadi jangan pandang rendah okey,” katanya.
Dalam masa yang sama, kata Joe, kriteria utama yang seharusnya dipraktiskan oleh semua penyanyi tanpa tertumpu pada mana-mana gender adalah cara seseorang itu membawa gelaran seorang penghibur.
“Membuat persembahan, menari dan menyanyi belum cukup untuk menjadikan anda tampak hebat di mata penonton atau peminat. Tetapi kalau anda berupaya membuatkan orang berhenti dan mendengar pada diri anda, itu adalah satu perkara lain.
“Mungkin inilah formula yang diperlukan oleh penyanyi rap kita,” katanya.
Meletakkan kepercayaan bahawa suatu hari nanti akan wujud kebangkitan era penyanyi rap wanita, Joe mengaku tidak sabar untuk menyaksikan fenomena itu.
“Akan tiba masa masyarakat akan sedar bahawa kita ada ramai penyanyi rap wanita yang bagus, yang berkarektor, bijaksana dan ada isi. Waktu itu akan datang. Saya pasti, satu hari nanti.
“Apa yang diperlukan ialah peluang dan ruang sahaja,” katanya sambil menyebut Zameera sebagai antara penyanyi rap wanita yang berpotensi dalam negara.

BETULKAN NIAT BERKARYA
Dalam pada itu, sengaja membangkitkan kebijaksanaannya tentang anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Joe gembira kerana semakin banyak lagu-lagu genre hip hop diterima untuk bertanding di pentas besar.
Memberi contoh sebagaimana apa yang berlaku dalam AJL ke-35, Joe memuji kemaraan tiga lagu hip hop, 7 Nasihat, EH! dan Gila yang mendominasi acara tersebut kali ini.
“Ia sesuatu yang baik dan boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan kepada pencipta genre muzik ini. Tetapi satu yang saya harapkan, setiap pengkarya seharusnya tidak meletakkan sasaran untuk mengejar trofi semata-mata.
“Jadikan ia motivasi boleh, tetapi bukan sasaran utama. Tetapi paling penting adalah niat. Apa niat kita ketika menghasilkan sesebuah karya itu,” katanya.










