
SEBELUM ini, nama Cik B untuk satu tempoh menjadi tular dan begitu hangat. Bermula dengan penglibatan sulungnya dalam drama berjudul Lelaki Lingkungan Cinta, kemudian muncul pula dengan single pertama berjudul Tolonglah.
Tidak semena-mena sahaja Cik B menjadi seakan satu fenomena baharu dalam dunia hiburan. Jangan lupa, Pancaindera juga pernah menjadikannya gadis sampul muka depan dan kemudiannya tular dek kerana transformasi berbeza yang dilakukan.
Tetapi entah mengapa, kini nama anak perempuan Datuk Seri Vida ini seakan dingin pula pada waktu ini. Itu yang Cik Bunga tengoklah. Iyalah, sebelum ini ramai yang boleh tengok dia kerap keluar di media massa termasuk di kaca televisyen.
Tup tup, diam membisu pula sekarang ini. Bukan apa, sayang juga bila nama tengah hype, tengah In orang kata, tetapi peluang keemasan ini tidak digunakan sebaik-baiknya untuk meluaskan lagi namanya dalam bidang seni.
Lantakkan apa orang nak cakap, tak ada bakatlah, tak ada rupalah. Bagi Cik Bunga, dalam pada orang kata begitu, mereka ini semualah yang sebenarnya suka dan lagi berminat nak ambil tahu.
Tetapi dari satu sudut, mungkin juga Cik B perlukan sedikit ruang untuk tempoh bertenang. Iyalah, ketika sedang mencipta nama dalam industri, dalam masa sama dia diuji pula dengan isu ayah kandungnya sehingga perlu ke mahkamah dan sebagainya.
Cik Bunga puji ketabahan yang ada pada jiwa Cik B. Bukan mudah untuk seorang anak remaja sepertinya menerima situasi yang menduga walaupun orang melihat dia hidup dalam dunia glamor, hidup dalam sebuah keluarga yang kaya dan macam tak punya masalah.
Tak apalah, Cik Bunga harap Cik B okey-okey sahaja. Jangan diam lama sangat tau! Peminat rindu. – MINGGUAN MALAYSIA










