PRN: Tarikh jemaah haji pulang antara pertimbangan hari mengundi - Utusan Malaysia

PRN: Tarikh jemaah haji pulang antara pertimbangan hari mengundi

Tarikh membuang undi pada PRN dijangka mengambil kira kepulangan jemaah haji. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan waktu paling ideal melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bagi menarik peratusan kreluar mengundi tinggi adalah pada Ogos ini.

Kesesuaian waktu itu mengambil kira jemaah haji yang kini berada di Mekah dijadualkan pulang ke tanah air pada 6 Julai dan 2 Ogos.

Kuota rasmi haji Malaysia seramai 31,600 orang, namun, ketika ini tiada unjuran jumlah jemaah haji Malaysia akan menyumbang kepada peratusan undi dalam enam pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Program Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, tidak semua dalam kalangan 31,600 jemaah haji itu terlibat pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak segelintir daripadanya masih ada yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi calon wakil rakyat mewakili kawasan masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tidak semua jemaah haji tinggal di enam negeri ini, tetapi, salah satu prinsip pilihan raya ialah membolehkan semua orang berpeluang untuk mengundi tanpa alasan sekalipun.

PULANG

“Memandangkan jemaah haji dijadual pulang ke tanah air awal Ogos kemudian DUN dijangka bubar bulan Jun, kemungkinan dalam minggu ketiga atau empat bulan Ogos adalah tarikh paling sesuai. Cuaca juga tidak melibatkan hujan dan banjir selain cuti sekolah dan hari kebangsaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berpendapat, jumlah keseluruhan jemaah menunaikan haji dan akan kembali ke tanah air tidak memberi keputusan signifikan dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, kata beliau, memberi peluang untuk mereka tiba ke Malaysia dahulu supaya boleh mengundi memberi gambaran demokrasi terhadap jemaah haji.

“Kena tunggu juga negeri terakhir mana yang membubarkan DUN kemudian diikuti tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran untuk laksana pilihan raya. Bulan Ogos kurang lebih tidak sampai pun 30 hari bubar DUN, dan jika diberi pilihan itu ketika jemaah haji sudah pulang, ini cukup baik.

“Kalau mereka tidak sempat mengundi kerana pilihan raya awal, mungkin akan jadi isu pula bagi pembangkang. Jadi, saya berfikir lebih baik tunggu mereka pulang dahulu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×