SETELAH seminggu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 berlalu, tidak semena-mena kini muncul suara-suara sumbang melalui pemimpin-pemimpin dan portal-portal berita tertentu yang seolah-olah dikemukakan secara terancang bagi mencalar dan menjatuhkan imej UMNO. Pelbagai dakwaan nakal tanpa bukti dilontarkan bagi meremehkan PAU 2023.
Ada portal berita menyiarkan dakwaan pemimpin-pemimpin akar umbi UMNO yang tidak dinamakan bahawa PAU 2023 mencatatkan kehadiran amat menyedihkan. Kononnya penyertaan perwakilan lebih rendah berbanding sebelumnya disebabkan perpecahan dalaman dan ini menandakan UMNO tidak akan berjaya pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Ada juga disiarkan surat pembaca yang mendakwa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah a lame duck president yang holds zero power over the government and an insignificant portfolio dan does not appear to have drawn up any blueprint for how he intends to take the party forward serta UMNO has little or no chance of securing a meaningful presence anywhere else.
Ada bekas pemimpin UMNO dengan lantang mempertikaikan kekuatan UMNO dengan mendakwa parti itu bukan lagi pilihan rakyat; UMNO bukan lagi parti yang mahu menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara; sekarang sibuk menjaga dan menjadi tukang sapu kepada DAP semata-mata; dan dua juta rakyat sudah meninggalkan UMNO.
Ada pula pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan mendakwa UMNO semakin hilang sokongan politik di mata orang Melayu kerana perjuangan membela Islam dan Melayu dilihat kian longgar sejak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). Dan jika tidak kembali kepada perjuangan asal, tidak mustahil ia akan menjadi parti sejarah.
Menyedihkan bila ada media boleh menurunkan tahap kewibawaan mereka dengan menyiarkan dakwaan-dakwaan tidak berasas yang dikemukakan dengan niat boleh dipersoalkan.
Dari segi kekuatan, fakta yang ada adalah jelas, iaitu UMNO masih parti terbesar di negara ini. Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki telah mengumumkan dalam PAU 2023 bahawa keahlian UMNO setakat 6 Jun lalu ialah 3,442,280 orang merangkumi 22,125 cawangan dari 191 bahagian di seluruh negara termasuk Sabah.
Untuk 2023 sahaja, UMNO menerima 13,442 ahli baharu dengan 8,876 orang atau 66 peratus daripada jumlah mendaftar berusia 18 hingga 30 tahun. Ini sekali gus menjadi satu petunjuk positif bahawa masih ramai ingin turut serta menjadi ahli dan UMNO masih mendapat minat daripada golongan muda.
Dakwaan dua juta rakyat sudah meninggalkan UMNO adalah tuduhan liar dibuat tanpa asas. Dari sudut keahlian, walaupun ada ahli yang meninggalkan UMNO, kekuatan akar umbi masih utuh. Soal sebahagian daripada mereka mungkin tidak menyokong calon sendiri dalam pilihan raya adalah perkara sementara atau bersifat tempatan yang boleh diatasi.
BARISAN NASIONAL
Dakwaan UMNO bukan lagi parti yang mahu menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara sebaliknya sibuk menjaga dan menjadi tukang sapu kepada DAP semata-mata juga amat tidak berasas. Ini kerana di peringkat awal perundingan pembentukan kerajaan perpaduan lagi telah wujud persetujuan awal kerjasama politik PH-BN (Barisan Nasional) pada 22 November 2022.
Antara butiran persetujuan awal ini ialah kerajaan akan mengambil langkah perlu supaya dasar, program, pendirian, perlakuan dan pembawaan menjunjung peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, Melayu/bumiputera dan raja-raja Melayu agar tidak dilihat mengguris atau melanggar tiga perkara tersebut.
Butiran persetujuan awal ini kemudiannya diperkemaskan lagi menjadi satu dokumen rasmi Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ditandatangani oleh semua ketua parti komponen yang membentuk kerajaan perpaduan pada 16 Disember 2022. UMNO, tegasnya ialah penjaga dan pemelihara Melayu Islam dan bumiputera dalam kerajaan perpaduan.
Dakwaan PAU 2023 mencatatkan kehadiran amat menyedihkan adalah tidak benar malah penyertaan perwakilan sebenarnya lebih tinggi kerana pindaan Fasal 8.4 Perlembagaan UMNO memperuntukkan ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri secara automatik menjadi perwakilan.
Dakwaan Ahmad Zahid adalah Presiden lemah yang tiada kuasa ke atas kerajaan; memegang portfolio tidak penting; tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membawa UMNO ke hadapan juga adalah tidak benar sama sekali. Begitu juga dengan dakwaan UMNO tiada peluang untuk menang dalam PRN dan sukar untuk hadir secara berkesan di tempat lain.
Dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri I, Ahmad Zahid diberi tanggungjawab mempengerusikan beberapa jawatankuasa penting Kabinet, manakala melalui portfolio Kemajuan Desa dan Wilayah yang beliau pegang, terdapat beberapa agensi penting di bawahnya, iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan johor Tenggara (Kejora).
Perancangan Ahmad Zahid untuk membawa UMNO ke hadapan juga boleh dilihat oleh sesiapa yang peka. Antaranya penekanan beliau sejak dalam PAU 2022 lagi mengenai proses peremajaan dan pembaharuan dalaman parti di mana UMNO perlu berubah sesuai dengan kehendak semasa termasuk melalui penubuhan Majlis Ulama dan Institut UMNO.
Lebih penting lagi ialah keberadaan UMNO dalam kerajaan perpaduan yang membuka ruang untuk UMNO terus bangkit berbanding jika memilih untuk menjadi pembangkang atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang pastinya akan menjadikan UMNO sukar untuk bergerak serta diberikan peranan jauh lebih kecil berbanding peranan besarnya sekarang.
Perlu diingat, 35 kerusi Parlimen dimenangi PN logiknya boleh bertukar tangan. Ini kerana gabungan undi calon BN dan calon PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengatasi undi calon PN di 35 kerusi ini. 23 daripadanya calon BN berada di tempat kedua. Oleh itu, kekuatan gabungan BN dan PH dalam PRN di enam negeri tidak boleh diperkecilkan. – UTUSAN
Dr. Nik Mawardi Mohamed ialah Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).











