MELAKA: “Sepanjang hidup, saya tidak akan lupakan kejadian petang Ahad lalu kerana nyawa bagaikan telur di hujung tanduk.
“Saya tergamam ketika itu rasa nak melompat keluar dari kaunter menyelamatkan diri, tetapi mujurlah kereta itu meluru ke arah kanan.”
Itu pengalaman buruk dialami pekerja sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Rambai di sini, Nur Alia Abdullah, 22, yang bertugas semasa sebuah kereta jenis Hyundai Sonata dipandu seorang warga emas berusia 69 tahun merempuh cermin kedai serbaneka.
Nur Alia yang mula bertugas pukul 3 petang hingga 2 pagi pada hari kejadian berkata, ketika insiden itu dia bersama rakannya, Jasnita Ariffin, 22, sedang berada di kaunter sebagai juruwang.
“Mulanya saya terdengar bunyi deruman enjin yang sangat kuat di pam nombor enam.
“Saya lihat sebuah kereta sedang mengundur dalam keadaan yang sangat laju dan terkejut melihat kenderaan itu terus memecut ke arah kaunter,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, malang tidak berbau buat pengusaha sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Rambai apabila tidak sampai setahun premis itu sekali lagi dirempuh kereta.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang, kereta dipandu seorang warga emas bersama dua cucunya merempuh kedai serbaneka di stesen minyak berkenaan.
Sebelum itu, pada 19 Julai 2022, stesen minyak sama dirempuh sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun, dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak.
Menurut Nur Alia, ketika kejadian hanya terdapat dua pelanggan iaitu seorang bapa dan anaknya berusia dalam lingkungan tiga tahun, bagaimanapun mereka terselamat. – UTUSAN
.











