Baja: Kaedah lapuk cengkam petani

Baja: Kaedah lapuk cengkam petani

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 12 Jun 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebergantu­ngan kepada kaedah lapuk dan tiada pelan jangka masa pendek untuk mengawal pertambahan kos industri pertanian mengakibatkan para petani terus dihantui dengan masalah peningkatan harga bahan termasuk baja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gerak Tani, Mazlan Aliman berkata, kementerian berkaitan harus aktif meneroka teknologi baharu termasuk bekerjasama dengan golongan pakar bagi menangani masalah tersebut.

“Kerajaan mesti menyediakan pelan jangka pendek contohnya jumlah subsidi munasabah demi kelangsungan kehidupan petani dan mekanisme baharu iaitu teknologi merawat tanah yang betul.

Memuatkan artikel berkaitan…

‘Penggunaan baja yang terlalu tertumpu pada bahan kimia, ini diamalkan sejak dahulu. Kos meningkat tetapi hasil tetap tak berubah. Pakar-pakar tidak diberi peranan, peruntukan rendah malah terlalu kecil.

“Selain itu, prosedur tanaman kita juga kekal cara lama dan akhirnya pendapatan tidak meningkat. Dengan erti kata lain, negara kekal bergantung pada input yang dikumpul. Teknologi dan inovasi bagi merawat kualiti pertanian, memulih agar menitikberatkan kualiti tanaman tidak diberi perhatian,’ katanya semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pekebun kecil sawit kini tertekan apabila sekali lagi harga baja naik 100 peratus ketika jualan semasa buah tandan segar jatuh RM600 hingga RM650 satu tan metrik.

Ia berbeza dengan jualan tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apabila harga jualan di pusat timbangan buah sawit mencapai RM800 satu tan metrik. Situasi itu diburukkan dengan harga mencecah RM160 bagi satu guni baja kimia 50 kilogram (kg) berbanding harga sewaktu pandemik Covid-19 RM80 satu guni.

MAZLAN ALIMAN

Mazlan berkata, industri pertanian sangat memerlukan bantuan pakar supaya kerajaan boleh memperbaharui kaedah yang digunakan petani dalam negara.

“Bagaimana nak tingkatkan pendapatan, jika pengetahuan mengenai penjagaan tanah hanya bergantung pada baja yang sama semata-mata dan mengekalkan racun yang merosakkan tanah serta tanaman sedangkan opsyen lain tidak dimanfaatkan.

“Saya amat setuju bahawa kenaikan harga baja beri kesan buruk kepada pendapatan petani, pesawah dan pekebun kecil tetapi jika kerajaan tiada mekanisme atau polisi pertanian yang jelas dan terarah, masa hadapan sektor pertanian kekal malap seperti hari ini.

“Kita tidak ketandusan pakar-pakar tempatan. Beri mereka peluang. Masalahnya, kadangkala mereka diketepikan seolah-olah pakar tempatan tiada kebolehan dan kemampuan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×