Khairy, Noh bantu PN rampas Negeri Sembilan, Selangor - Utusan Malaysia

Khairy, Noh bantu PN rampas Negeri Sembilan, Selangor

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kemasukan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar ke dalam Perikatan Nasional (PN) boleh memberi impak besar kepada gabu­ngan tersebut untuk merampas Nege­ri Sembilan dan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Malah, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga antara na­ma-nama besar lain yang dise­but bakal menyertai PN.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, gelombang bersama PN bukan sahaja terdiri daripada pemim­pin berpengaruh malah turut melibatkan pemimpin setempat.

Menurut beliau, sudah pas­tinya jika mereka menyertai PN sama ada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal memberi impak positif kepada PN.

Sebagai contoh katanya, apabila Datuk Seri Shahidan Kassim bersama gabungan tersebut secara tidak langsung membantu PN menang 17 daripada 18 kerusi di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Mereka (Khairy, Noh Omar) ada pengikut ramai sudah pastinya membantu. Seperti Khairy ia bakal memberi impak dan tidak mustahil boleh membantu merampas Negeri Sembilan.

“Begitu juga Noh di Sela­ngor ia akan membantu selain rakyat yang sedang marah kepada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO,” katanya.

BERTEMU

Sebelum ini, media mela­porkan, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dijangka bertemu dengan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ming­gu depan.
Tanpa mendedahkan secara terperinci, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dilaporkan berkata, pertemuan tersebut bagi memberikan keputusan muktamad beliau, dipercayai mengenai tawaran menyertai parti berkenaan.

Sementara itu, Hashim ber­kata, pemimpin terbabit antara yang dipecat atau digantung oleh UMNO sedangkan mereka merupakan tonggak kepada parti berkenaan.

Kata Hashim, akhirnya me­reka memilih sama ada menyer­tai Pas atau Bersatu di dalam PN dan gabungan tersebut terbuka menerima pemimpin-pe­mimpin berpengaruh ini.

“Pengaruh mereka boleh mem­bantu menambah kekuatan PN. Tidak mustahil kita mampu merampas Sela­ngor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRN ini.

“Shahidan antaranya te­lah membantu menzahirkan gelombang perubahan di Perlis manakala Tan Sri Annuar Musa yang menyertai Pas turut akan membantu di Kelantan.

“Selain gelombang-gelombang ini, ada satu lagi gelombang yang tidak boleh dilupakan iaitu bagaimana Allah SWT menjentik hati mereka untuk bersama dalam penyatuan ummah ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×