KUALA LUMPUR: Jemputan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin yang dipecat dan digantung tidak masuk akal, malah dikatakan sangsi dengan keikhlasan terhadap tindakannya itu.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika ditemui di Parlimen berkata, beliau mempertikai akan perkara itu, juga sempat mempersoal tindakan penggantungan yang dikenakan terhadap dirinya atas kesalahan apa.
“Yang saya tahu, dia kata kita kena mohon diterima semula. Kedua, kena bawa ke Jawatankuasa Disiplin tetapi bagi saya, sampai hari ini saya tak tahu sebab digantung.
“Masa saya digantung dulu, Jawatankuasa Disiplin tak pernah panggil untuk siasatan dan untuk jawab. Jadi saya pun tak tahu sama ada yang diluahkan baru-baru ini ikhlas atau tak.
“Lagipun bagi saya tak masuk akal, apa yang dicadangkan itu mungkin reaksi, luahan daripada bawah (akar umbi),” katanya.
Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 menegaskan yang parti sentiasa terbuka untuk menerima ahli yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.
Mengulas lanjut adakah rakan lain yang turut digantung atau dipecat akan menerima undangan Ahmad Zahid itu, Hishammuddin berkata, ia terserah kepada mereka terbabit.
Katanya, rakan yang ditimpa hukuman termasuk digantung atau dipecat sebenarnya tidak mengalami sebarang kerugian.
“Tetapi itu terserah kepada mereka (untuk terima pelawaan). Bagi saya kawan yang digantung, dipecat ini tak ada rugi kerana kita pun sudah digantung.
“Jadi kalau betul perlukan khidmat kita, sindiran bahkan tawaran bersyarat tak bawa apa-apa makna kepada diri saya, ” katanya. – UTUSAN










