Perlu akta khas, SOP jelas kawal preskripsi secara maya

Perlu akta khas, SOP jelas kawal preskripsi secara maya

Kerajaan perlu melakukan tranfsormasi sistem pembiayaan kesihatan dengan segera bagi memberi akses kesihatan sama rata untuk semua orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan perlu mewujudkan akta khas dan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi mengawal pengeluaran preskripsi secara dalam talian sekiranya ingin memperluaskan sistem klinik maya sebagai usaha mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan.

Preskipsi adalah dokumen rasmi dikeluarkan oleh doktor bagi tujuan pembekalan ubat kepada pesakit. Semua ubat yang perlu diambil pesakit akan ditulis di atas preskripsi tersebut.

Selain penting di sisi undang-undang, preskripsi penting bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan betul supaya tidak memudaratkan pesakit.

DR. BOI SAIDI ABD. RAZAK

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana belum ada akta bagi mengawal preskripsi secara maya.

“Persoalan Perdim, apakah dengan hanya persidangan video atau klinik maya sudah memadai untuk memberikan preskripsi walaupun membabitkan pesakit berulang?

“Perlu ada akta khas dan SOP tentang hal ini, mungkin persidangan video boleh dibuat selang sekali selepas temujanji secara bersemuka.

“Adalah tidak munasabah seorang doktor mengeluarkan 1,000 preskripsi sehari menggunakan platform maya. Klinik di luar negara menghadkan seorang doktor memiliki kuota tertentu untuk mengeluarkan preskripsinya sehari supaya tidak berlaku salah guna,” katanya di sini.

Kelmarin, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan akan memperluaskan lebih banyak pelaksanaan sistem klinik maya sebagai usaha mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan terutama bagi kes-kes bukan kecemasan.

Pesakit yang boleh menggunakan perkhidmatan tersebut ialah mereka yang mempunyai rekod rawatan sedia ada dengan hospital dan bukannya pesakit baharu.

Ini termasuk pesakit yang menunggu semakan keputusan makmal selain penjagaan pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau penyakit kronik lain yang stabil serta mempunyai janji temu untuk pemantauan berterusan.

Mengulas lanjut, Boi Saidi berkata, penggunaan platform maya dialu-alukan kerana ia salah satu cara mengurangkan kesesakan pesakit di klinik dan hospital kerajaan.

“Namun begitu, selain isu kawalan pengeluaran preskripsi, ada beberapa masalah lain seperti tidak semua pesakit mampu menyertai klinik maya atas faktor usia dan tidak mahir teknologi maklumat (IT).

“Etika merawat pesakit sebenarnya terdiri daripada tiga komponen iaitu
wawancara, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal jika perlu. Jika hanya melihat pesakit melalui persidangan video, doktor mungkin terlepas pandang simptom-simptom fizikal yang gagal dilihat secara jelas.

“Sebagai contoh, makan ubat darah tinggi jenis CA Antagonist, terjadi komplikasi kaki bengkak disebabkan retensi air, mungkin pesakit tidak sedar masalah ini kerana doktor hanya membuat panggilan video semata-mata,” jelasnya.

Jadi beliau berkata, untuk sementara waktu, Perdim merasakan hanya pesakit yang menunggu keputusan darah sesuai untuk dimaklumkan secara maya atau persidangan video.

“Untuk tujuan rawatan, Kementerian Kesihatan perlu memperhalusi kaedah rawatan secara panggilan video atau klinik maya ini tanpa membawa lebih banyak kemudaratan kepada pesakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×