Jangan jemu ambil tahu pasal politik

Jangan jemu ambil tahu pasal politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK itulah yang merubah negara bangsa.

Kerana melalui prosesnya, ketentuan perjuangan dan hak-hak individu dan kelompok dapat dinyata dan diterjemahkan.

Rakyat Malaysia dengan orang mudanya, apa lagi Melayu harap jangan jemu-jemu mengikuti dan berinteraksi dengan berita-berita dan khabar politik. Diakui sebilangan orang politik kita menjemukan. Tidak banyak boleh disandarkan harapan. Namun, ada sebilangannya yang bagus dan ikhlas berjuang untuk bangsa dan agamanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Politik itu ‘jantung’ negara. Ibarat enjin sebuah kereta. Mustahak. Kuasa politik rakyat itulah yang melahirkan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta perkembangannya pula mampu mengubah tanah air.

Kuasa politik itulah yang menjamin hak-hak istimewa Melayu dan kepentingan komuniti lain di bawah Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152, berkuasanya raja-raja Melayu, wujudnya pengasingan kuasa, norma-norma pentadbiran – semuanya hasil perjuangan politik.

Dalam bentuk paling asas, politik adalah jentera penggerak kerajaan. Ia adalah dasar awam, juga bermakna hak-ehwal negara – satu seni untuk memperoleh dan mewujudkan kuasa dan pengaruh dalam memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat. Ahli politik mungkin terdiri daripada para doktor dan peguam, tetapi apabila mengetuai kerajaan atau kementerian, dia berfikir dan bertindak sebagai seorang ahli politik.

Melalui mekanisme kerajaan berkabinet, politik dan pentadbiran dicantumkan untuk membentuk dasar-dasar dan artifak pentadbiran yang seterusnya adalah tugas birokrasi untuk menguruskan perkara-perkara tersebut.

Dari sudut inti pati dan isinya, tiada sesuatu berada di luar lingkungan politik. Selagi entiti itu dibiayai melalui kewangan awam, ia dianggap penting untuk disenaraikan di bawah kancah politik. Dan semua perkara di bawah kerajaan adalah di bawah pengaruh politik. Ini termasuklah pelantikan Peguam Negara dan perkhidmatan awam. Tidak terkecuali badan kehakiman yang tidak dapat dipisahkan daripada interaksi dalam keutamaan dan keputusan politik. Namun persoalannya, keutamaan dan keputusan politik siapa?

Tanpa semangat nasionalisme yang pada dasarnya adalah satu fenomena politik, entiti kerajaan akan gagal. Bagi Malaysia terutama kejayaan mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, bermakna berlakunya penubuhan pelbagai jabatan kerajaan dan entiti yang disertakan dengan fungsi-fungsi dan kuasa masing-masing. Semua ini memerlukan keputusan politik.

Dalam minda seorang Perdana Menteri akan bermain gambaran populariti beliau. Setiap kali seorang ahli politik berkata bahawa apa yang dilakukannya semata-mata untuk bangsa, agama dan negara – yang menjadi mantera parti-parti politik – apa yang dimaksudkan dalam hal Perdana Menteri, populariti kerajaannya.

Semua Presiden dan Perdana Menteri mempunyai fikiran yang sama – mahukan kemenangan dalam pilihan raya, seterusnya memerintah selagi mendapat sokongan. Namun, ada kala idealisme asal boleh menjadi idealisme peribadi. Tetapi apabila seseorang itu berada di puncak kekuasaan, perubahan mungkin berlaku hingga menimbulkan persoalan, “Siapa yang berani menentang saya?”

Kerajaan tanpa politik ibarat kapal belayar tanpa angin. Ia adalah politik khususnya pendapat awam yang mendorong kerajaan untuk meningkatkan prestasi atau sebaliknya terus goyah dan terhenti.

Kata kunci semua ini ialah: politik penentu negara bangsa.

PENANGAN ‘GENERASI SATU MINIT’!

BANYAK ketika saya sendiri akui tidak terkejar dengan kepantasan generasi baharu.

Dalam bidang saya, kewartawanan, usah cakaplah. Sebahagian besarnya lingkungan umur 20-an dan 30-an cekap, bingkas mengambil maklumat dari sidang media dengan cuma telefon di tangan. Fikir, taip dan hantar, dengan intro berita yang cukup ranum masaknya.

Itu belum lagi kita sembang pasal teknologi kecerdasan buatan (AI). Habis ditranksripkan semua percakapan menteri. Tinggal lagi untuk disusun dan diolah menjadi satu berita sahaja.

Dengan google translate yang kian canggih, segala bahasa di dunia boleh difahami dengan terjemahan yang baik, tersusun.

Jadi, hendak kenal seseorang itu wartawan lama atau baharu, mana yang bawa buku nota kecil terselit di poket seluar atau bahagian belakang itulah wartawan otai. Cuma hari ini segalanya di jari – telefon masing-masing.

Dan bila ada pemimpin bangkitkan perlunya generasi baharu “tidak memilih jalan singkat untuk mencari kebenaran kerana kalau diizinkan berterusan maka satu generasi akan kekal ibarat katak di bawah tempurung”, kita memahami kebimbangan ini.

Dengan TikTok sahaja menerusi mesej disampaikan bersahaja, ‘menangkap’, melekat di mata dan jiwa, bisa boleh merubah pendirian seseorang – cepat atau lambat sahaja. Apa lagi jika satu berita atau maklumat itu sensasi, masuk TikTok, ditularkan (viral). Dalam seminit dua dapat beribu-ribu like.

Jadi, tidak perlu jentera parti dianggotai ratusan ribu berkempen pilihan raya. Cukup dengan satu kumpulan IT, dipandu oleh seorang dua individu yang faham isu-isu semasa, boleh roboh sebuah binaan.

Masih ingatkah bagaimana Asia Barat dibantai impak Arab Spring pada 2011? Bermula di Tunisia Januari 2011, mengakibatkan negara-negara republik seperti Mesir, Libya dan Syria terjerumus ke dalam konflik yang panjang. Cubaan rampasan kuasa dan peperangan di jalanan turut berlaku di Kuwait, Maghribi dan Bahrain.

Semua ini akibat penangan media sosial, Facebook dan Twitter, dicetuskan daripada tindakan Mohammad Al-Bu Azizi membakar dirinya kerana tekanan hidup. Ini apabila kereta sorong barang-barang perniagaan kecil miliknya dirampas oleh pihak berkuasa tempatan.

Ada benarnya kata pemimpin itu:

“Pilih jalur apa pun, media cetak atau digital, saya tiada masalah, tetapi jangan cari jalan singkat untuk mencari kebenaran.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×