Pesawah kecewa sumber air tak cukup untuk tanam padi

Pesawah kecewa sumber air tak cukup untuk tanam padi

SEBAHAGIAN pesawah menunjukkan petak sawah yang tidak dapat diusahakan berikutan sumber air tidak mencukupi di Jitra, Kubang Pasu. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Hampir 20 pesawah yang mengusahakan kira-kira 12 hektar bendang di Kampung Lembah dan Kampung Tebing di Napoh kecewa berikutan ketiadaan sumber air mencukupi untuk mereka mengusahakan tanaman padi sejak beberapa bulan lalu.

Menurut seorang petani, Roslan Kasim, 61, rata-rata mereka sudah ketinggalan dua bulan daripada jadual asal penanaman padi akibat masalah itu.

Dakwanya, masalah itu berpunca daripada kegagalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyelenggara kawasan saliran dari kawasan tali air berhampiran.

“Sebelum ini saliran tersebut diselenggara setahun sekali tetapi pada tahun ini, kerja penyelenggaraan tidak berjalan menyebabkan saliran menjadi semak sekali gus menghalang air mengalir.

“Apabila saya ajukan masalah ini kepada JPS Isnin lalu, barulah mereka menghantar jentera untuk membersihkan saliran tersebut. Begitu pun, tindakan mencucinya setakat ini baru selesai separuh.

“Selepas itu, pihak berkenaan ada mencuba untuk mengepam air tetapi tak sampai ke seluruh kawasan. Jadi sehingga kini kami terpaksa terus menanti untuk mengusahakan sawah sedangkan jadual penanaman asal sudah terlewat kira-kira dua bulan,” katanya di sini semalam.

Tambah Roslan, kerja-kerja mengusahakan sawah kali ini dijangka berdepan kesulitan berikutan penanaman padi tidak sama waktu antara petak sawah berhampiran.

“Sebagai contoh saya masih belum boleh buat apa-apa sedangkan petak sawah sebelah sudah mula proses menanam kerana memiliki jumlah air mencukupi. Jadi kami akan berdepan masalah untuk melaksanakan kerja-kerja tertentu yang memerlukan kerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu rakannya, Lim Khim Lai, 68, turut menzahirkan harapan agar masalah di situ selesai segera kerana petani turut mengalami kerugian sewaktu mengusahakan sawah pada musim lalu.

“Kalau tidak petani di sini susah, apa pun tak boleh buat. Musim lepas pun padi tak menjadi disebabkan penyakit sampai modal pun tak dapat balik.

“Minta tolonglah supaya saliran di sini dilicinkan kembali agar air dapat mengalir. Kalau kita lihat sekarang, memang nampak rumput dan semak saja,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun, Othman Awang turut meminta JPS mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu.

“Saya difahamkan, dulu kawasan ini sentiasa diselenggara dengan baik dan mengikut jadual tetapi tahun ini agak mengecewakan. Kami tak tahu apa masala tetapi dalam konteks petani, mereka memang sangat memerlukan air untuk mengusahakan bendang.

“Jika tahun-tahun sebelum ini tiada masalah, jadi tak sepatutnya masalah itu berlaku kali ini. Dengan keupayaan membuat penyelenggaraan pada musim-musim sebelum ini, kami yakin JPS dapat laksana perkara sama dan harap ia dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×